Bantuan TAPPN diperluas untuk anggota bomba, KPDNHEP

Bernama
Oktober 25, 2022 23:37 MYT
TAPPN antara lain ditubuhkan untuk menghargai sumbangan anggota pasukan keselamatan dan agensi berkaitan yang cedera atau terkorban ketika sedang menjalankan tugas. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Mindef) memperluaskan bantuan Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Kementerian berkenaan menerusi kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dicapai hasil Mesyuarat Lembaga TAPPN kali ke-43 pada 8 Mac 2021 selepas Lembaga Pengurus bersetuju membuat penambahbaikan beberapa perkara.
"Ini termasuk tempoh permohonan, kategori bantuan, syarat kelayakan yang diperkemas dan dijelaskanserta kadar bantuan saguhati bagi beberapa kategori dinaikkan," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu dipengerusikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyandang jawatan Menteri Kanan Pertahanan, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Mindef Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Abdul Hamid Bador, wakil pertubuhan perniagaan dan industri serta wakil media.
Menurut Mindef 10 agensi yang menerima manfaat daripada TAPPN ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Orang ramai, badan korporat dan pihak swasta yang ingin menyalurkan dana serta sumbangan boleh layari laman sesawang http://www.amanahraya.my atau muat turun aplikasi AMANAHRAYA di App Store dan Android Google atau melalui akaun Maybank Amanah Raya Berhad - TAPPN 5641 5512 0314," menurut kenyataan itu.
Mindef memaklumkan setiap dana dan sumbangan yang disalurkan kepada Tabung TAPPN akan diberikan pengurangan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan sumbangan yang diberikan akan disalurkan terus kepada penerima atau waris sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang terlibat.
TAPPN ditubuhkan untuk menghargai sumbangan anggota pasukan keselamatan dan agensi berkaitan yang cedera atau terkorban ketika sedang menjalankan tugas dengan turut diperluas kepada orang awam yang terlibat dalam menjaga keselamatan serta keamanan negara.
-- BERNAMA
#TAPPN #Mindef #KPDNHEP #bomba
;