Bantuan segera kepada tiga beranak tidur di hospital

Bernama
Ogos 7, 2019 07:52 MYT
Shahaniza berkata, berdasarkan rekod JKM, Sarina (gambar) dan suaminya tidak pernah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan sebelum ini. - Foto Facebook Sarimah Hj Mohamed
Kisah ibu yang terpaksa membiarkan dua anak perempuannya bermalam di lantai lobi Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh dekat sini, kerana menjaga suami yang sakit mendapat perhatian sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata kisah keluarga Sarina Endut telah dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Katanya JKM meluluskan bantuan segera RM300 dibayar secara 'one-off' pada Isnin lalu, selain meluluskan Bantuan Kanak-Kanak yang akan dinikmati bermula September ini.
"Selain itu, untuk keselesaan dan keselamatan dua anak yang masih kecil, Jabatan Kebajikan HoSHAS telah menyediakan bilik percuma di Anjung Kasih hospital untuk penginapan mereka," katanya di sini, pada Rabu.
Shahaniza berkata berdasarkan rekod JKM, Sarina, 40, dan suaminya Jamaluddin Uyub, 59, tidak pernah mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan sebelum ini.
"Bagaimanapun, kita terus memberikan bantuan sewajarnya apabila kisah mereka sampai ke pengetahuan kami. Malah ada juga individu termasuk ahli politik yang menyampaikan bantuan peribadi kepada beliau," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata jabatan kesihatan turut memberikan bantuan kewangan tunai kepada Sarina sebaik sahaja kisahnya tular di laman sosial.
"Kami menerima ramai pesakit setiap hari dan memang ramai yang berehat di lobi hospital termasuk ada yang tidur untuk berehat pada waktu malam.
"Jadi sebaik sahaja kisah beliau yang terpaksa meninggalkan dua anak yang masih kecil tiba ke pengetahuan, kami berusaha sedaya upaya mendapatkan bilik di Anjung yang pada kebiasaannya sentiasa penuh," katanya.
Dr Sha'ari juga menasihatkan mereka yang mengalami kesukaran atau mengetahui individu yang mengalami nasib seperti Sarina untuk ke Bahagian Kebajikan Sosial, yang ada di setiap hospital, bagi membuat permohonan bantuan sewajarnya.
Terdahulu, media melaporkan kisah Sarina yang terpaksa meninggalkan anak berusia lapan dan enam tahun tidur di lobi HoSHAS sejak 24 Julai lalu kerana menjaga suami yang ditahan di wad kerana kanser usus.
Sarina yang akan bergilir-gilir berada di wad dan lobi mendakwa terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu menyewa bilik atau menampung kos berulang alik dari hospital ke rumahnya di Pulau Tawar, Jerantut yang sejauh 70 kilometer setiap hari.
-- BERNAMA
#bantuan #HOSHAS #Jabatan Kebajikan Masyarakat #kanser usus #lobi hospital #Sarina Endut #Sha'ari Ngadiman #Shahaniza Shamsuddin #suami sakit #sumbangan #tak mampu sewa bilik #tidur di hospital #tiga beranak #Tular
;