'Bantuan sampah' cemari usaha murni rakyat santuni mangsa banjir
Bernama
Januari 31, 2022 16:55 MYT
Januari 31, 2022 16:55 MYT
KUALA LUMPUR: Kecewa, malu malah berasa jijik!
Melihat kepada baju dan pakaian dalam yang koyak, kain lusuh dan buruk, kain perca, seluar dalam dengan tompokan darah serta stokin busuk, sudah tentu sumbangan itu bukan yang diharap mangsa bencana banjir yang melanda sekitar Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur dan Selangor baru-baru ini.
Namun itulah realiti antara sumbangan yang dikatakan pakaian terpakai, bak peribahasa 'indah khabar daripada rupa'!
Mangsa banjir, ada yang tinggal sehelai sepinggang, pastinya akan dirundung kesedihan apabila bungkusan yang diterima bagaikan 'buangan sampah', banyaknya sumbangan yang memenuhi ruang pusat pemindahan sementara, sehingga melempah hingga ke bahu jalan.
Perkara ini dikongsi Pengerusi Persatuan Prihatin Pandan, Aini Ahmed, yang berkata, selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif mengumpulkan bantuan buat mangsa banjir, pihaknya mengakui terdapat lambakan 'sampah' melibatkan sumbangan pakaian terpakai diterima di pusat operasi mereka di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
"Boleh saya katakan, dalam 1,000kg (kilogram) pakaian yang diterima, hampir atau mungkin lebih 30 peratus iaitu kira-kira 300kg daripadanya adalah pakaian rosak, terlalu buruk malah berbau busuk, lebih layak dibuang sahaja.
"Ia amat mengecewakan kerana pada saat yang mendesak untuk bantuan disalurkan segera, sukarelawan, kami terpaksa menghabiskan masa bagi mengasingkan terlebih dahulu pakaian yang betul-betul sesuai untuk diedarkan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Asing sebelum diagihkan
Menurut Aini, pengasingan perlu dilakukan untuk memastikan mangsa menerima pakaian yang benar-benar boleh dipakai.
"Biarpun kami menggunakan tenaga yang banyak untuk proses pengasingan ini termasuk mengikut saiz dan jenis, namun ia jelas membantu serta memudahkan urusan pengedaran bantuan kepada mangsa banjir.
"Melihat mereka tersenyum dan mengucapkan terima kasih, sudah memadai buat kami," kata Aini yang menambah, kebanyakan sukarelawan NGO yang dinaunginya terdiri daripada kaum hawa.
Menurut beliau, bagi ratusan kilogram pakaian yang tidak sesuai untuk didermakan, ia tidak dibuang begitu sahaja kerana pihaknya berpegang kepada prinsip untuk mengelakkan pembaziran serta menjaga alam sekitar.
Kesemua pakaian berkenaan diserahkan NGO alam sekitar yang menjalankan aktiviti kitar semula.
Persatuan Prihatin Pandan yang ditubuhkan pada November 2013 , setakat ini telah menghulur bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir di Lembah Klang, Mentakab dan Temerloh (Pahang) serta Negeri Sembilan.
Bukan 'tong sampah'
Pengurus Operasi Pengurusan Kecemasan Bencana Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin menyifatkan, pakaian terpakai adalah sumbangan paling banyak diterima di Selangor, sehingga akhirnya menimbulkan masalah lain.
"Kita bersyukur, berterima kasih atas keprihatinan masyarakat, namun ia bukan lagi bantuan apabila ada sesetengah pihak menjadikan misi ini sebagai 'tong sampah' untuk membersihkan kediaman daripada pakaian terpakai yang terlalu buruk atau sudah reput.
"Sumbangan ini akhirnya menjadi sampah tambahan di kawasan yang sudah pun dipenuhi sisa banjir," katanya.
Mengenai isu yang sama, Pengarah Bahagian Perancangan Strategik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Hazahar Hashim berkata, pihaknya sedia membantu menyesaikan isu lambakan pakaian terpakai itu.
Beliau yang juga Ketua Operasi Pasca Banjir SWCorp Selangor berkata, isu berkenaan adalah satu isu yang sensitif kerana pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya 'mengusik' lambakan pakaian berkenaan kerana ia adalah sumbangan orang ramai.
"Kita ni (SWCorp) memang orang kenal sebagai pengurus sisa, jadi apabila kita nak ambil longgokan pakaian terpakai ini, nanti mereka ingat kita nak buang pula sumbangan terbabit namun sekiranya diarahkan PBT (pihak berkuasa tempatan) mahupun dimohon kerajaan negeri, kita akan uruskannya.
"Kami melihat isu ini (lambakan pakaian) boleh dimanfaatkan menerusi aktiviti 'upcycling' yang banyak dilakukan rakan strategik SWCorp," katanya.
Tiada penyelarasan
Menurut Hazahar, hasil pemerhatian, pihaknya mendapati, punca lambakan sumbangan pakaian terpakai adalah akibat tiada penyelarasan serta pengurusan strategik bagi tujuan berkenaan.
"Di sesetengah tempat, longgokan pakaian diletakkan di kawasan tidak sesuai serta tidak strategik seperti di bawah kanopi dan perhentian bas. Lama-kelamaan pakaian itu rosak akibat terkena air hujan dan cuaca panas.
"Bantuan juga tidak dihulurkan secara terus kepada penerima. Ada NGO yang sekadar melonggokkan sumbangan di satu tempat dan membiarkan mangsa banjir mengambil sendiri tanpa panduan dan bantuan," tambahnya.
Menurut Hazahar, SWCorp bersedia menawarkan diri menjadi agensi penyelarasan bantuan pakaian kepada golongan memerlukan sekiranya perkara sama berulang lagi pada masa hadapan.
"Bukanlah kita minta banjir ni jadi lagi, namun sekiranya terjadi apa-apa bencana dan antara bantuan yang ingin dikumpulkan itu ialah pakaian, SWCorp sedia menjadi penyelarasnya.
"Kami pada asasnya memang sudah memiliki kiosk dan pusat pengumpulan pakaian terpakai di negeri-negeri selenggaraan SWCorp di bawah Perjanjian Pengurusan Sistem Pepejal dan Pembersihan Awam Akta 672 selain mempunyai akses kepada NGO dan rakan strategik berkaitan," katanya.
Beri yang terbaik
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, apa sahaja jenis bantuan adalah berkait dengan amalan sedekah, justeru agama Islam menyarankan umatnya memberikan yang terbaik dalam setiap urusan berkenaan.
"Bantuan yang terbaik itu pastinya yang pertama, berupaya menggembirakan atau membantu mengurangkan sedikit kesedihan serta kerugian mangsa. Kedua, si penerima akan mendoakan yang terbaik buat pemberi dan ketiga, ia menjadi wadah mengeratkan silaturahim.
"Ketika memberi, sebaiknya anggaplah diri kita sendiri berada pada situasi penerimanya. Jika kita berasa seronok, pasti pihak di sana (penerima) juga akan turut berasa gembira," katanya.
Mohd Ajib turut menasihati orang ramai supaya lebih peka dalam memberi sumbangan barangan peribadi seperti pakaian dalam dengan mengelakkan memberi yang sudah dipakai, sebaliknya santuni mangsa dengan pemberian pakaian dalam baharu. - BERNAMA