Bantuan rumah sewa mangsa banjir termenung akan diselesaikan - MB Kelantan

Bernama
Disember 4, 2023 16:16 MYT
Mohd Nassuruddin meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang, hari ini. - Gambar/ Bernama
PASIR MAS: Kerajaan negeri akan menyelesaikan pemberian subsidi rumah sewa kepada 58 keluarga mangsa banjir termenung yang terkesan akibat Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
"Isu ini dalam perhatian kerajaan negeri. Kita akan selesaikan bantuan ini kepada 58 keluarga," katanya kepada pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini, hari ini.
Sebelum ini, penduduk di Kampung Gual To' Deh, Kampung Tersang dan Kampung Lachang di Rantau Panjang di sini yang terkesan dengan pelaksanaan PLSB Sungai Golok, dijanjikan RM300 setiap keluarga untuk bantuan sewa rumah.
Perkara itu diumumkan oleh bekas Menteri Kelantan Datuk Ahmad Yakob April lepas, namun hingga kini belum terlaksana.
Terdahulu Mohd Nassuruddin menghadiri Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 oleh Yayasan Petronas di PPS tersebut.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata setiap keluarga di PPS menerima sumbangan Pakej Prihatin merangkumi keperluan asas seperti barangan kebersihan diri, makanan sedia dimakan dan air mineral.
"Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana 2023 adalah satu daripada usaha berterusan dijalankan oleh Yayasan Petronas dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha membantu mangsa banjir yang terjejas," katanya.
-- BERNAMA
#banjir kelantan #subsidi rumah sewa #Sungai Golok #Mohd Nassuruddin
;