Bantuan RM1,000 untuk mangsa banjir, RM5,000 untuk kematian - NADMA

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 23, 2021 18:15 MYT
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Aminuddin Hashim (tengah) pada sidang media khas mengenai situasi terkini keadaan banjir di Selangor di Pos Kawalan Bomba Taman Sri Muda Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 kepada semua ketua isi rumah yang terjejas akibat bencana banjir.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Aminuddin Hashim dalam sidang media yang diadakan di Shah Alam hari ini.
“Bantuan ini akan kita segerakan agar dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana banjir ini. Bantuan Wang Ihsan juga terbahagi kepada dua jenis iaitu bantuan RM1,000 kepada semua ketua isi rumah.
"Kerajaan juga amat simpati kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dan orang-orang yang tersayang, justeru kerajaan juga bersetuju untuk memberikan RM5,000 bantuan pengurusan kematian kepada waris mangsa yang meninggal dunia,” katanya.
Mangsa banjir yang berstatus warganegara dan terbukti memiliki premis yang musnah akibat banjir adalah layak menerima bantuan berkenaan.
NADMA akan awalkan penyaluran bantuan
[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir Selangor: Angka korban mencecah 24 orang - MB
Bagaimanapun katanya mangsa diwajibkan mendaftar dengan maklumat lengkap dengan menggunakan nama ketua isi rumah masing-masing.
Bagi mangsa banjir yang tidak berpindah ataupun menumpang di kediaman orang lain pula, mereka masih layak namun perlu mendaftar dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ataupun dengan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ataupun ketua kampung selain penghulu kampung masing-masing.
“Maksudnya di sini sekiranya tidak mempunyai kad pengenalan kita faham..memadai sekadar mereka merujuk kepada ketua komuniti (JKKK), penghulu dan sebagainya. Itu sudah cukup.
“Oleh yang demikian kerajaan melalui NADMA dan juga Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) telah mengambil langkah-langkah berikut untuk memudahkan proses permohonan dengan terus menggunakan pendaftaran di PPS sebagai bukti mangsa terjejas dengan bencana tanpa perlu membuat permohonan,” katanya lagi.
[TERKINI] Sidang media Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
Kerajaan juga katanya akan mempercepatkan proses menyalurkan peruntukan bantuan kepada kerajaan negeri-negeri yang terlibat mulai esok.
#Banjir 2021 #NADMA #Bantuan Wang Ihsan #pengurusan kematian
;