Bantuan Prihatin Nasional & Program Subsidi Upah talian hayat buat PKS
Astro Awani
November 30, 2020 12:43 MYT
November 30, 2020 12:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 bagaikan mimpi ngeri buat peniaga kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka tidak mempunyai persediaan yang cukup malah ada yang terpaksa 'gulung tikar' akibat kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
Kejutan COVID-19 dirasai oleh Pengasas Cupads, Syamsul Bahrin Ali yang mengakui tidak bersedia ketika pengumuman PKP itu dilakukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya hilang arah sekejap, walaupun perniagaan sememangnya terdapat situasi 'turun naik' namun ini adalah mengejutkan dan di luar jangkaan saya sebagai peniaga.
"Namun pengumuman mengenai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tepat pada masanya malah membolehkan saya membuat persediaan dengan menyimpan wang BPN terlebih dahulu kerana saya tahu ia akan membantu saya pada masa akan datang ketika itu.
"Saranan saya kepada PKS yang lain, jangan menggunakan bantuan itu sebagai alasan untuk bersenang-lenang sebaliknya gunakan sebaik mungkin dan ditempat yang betul," katanya.
Bagi seorang lagi usahawan dan Eksekutif Pengurusan Sumber Manusia Sr Electric Sivil and Work Sdn Bhd, Nurul Naziha Sapuan, dia menjangkakan pendapatan syarikatnya akan terjejas teruk susulan arahan PKP.
"Syarikat terpaksa membayar pelbagai kos, operasi ditangguh dan pekerja perlu bekerja dari rumah dan ia sesuatu yang baharu buat kami.
"Selepas syarikat mendapat tekanan itu, pengumuman bantuan dan Program Subsidi Upah (PSU) memberi kelegaan kepada saya kerana dapat membayar kos khususnya gaji pekerja sekaligus membantu mereka," jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Ida Yasin berkata, kehadiran beberapa siri pakej ransangan ekonomi termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) memberi talian hayat kepada PKS.
"Namun, perlu diingatkan PKS perlu mengambil peluang bantuan ini untuk bersama-sama menggerakkan ekonomi fasa pemulihan kerana pandemik ini masih jauh sebelum berakhir.
"Bantuan seperti ini perlu diteruskan untuk PKS namun terdapat keperluan untuk mengimbangi antara keperluan kesihatan dan ekonomi agar kewangan kerajaan tidak terjejas susulan bantuan berterusan diberikan.
Ida berkata, pandemik COVID-19 memberi pengajaran kepada rakyat Malaysia khususnya PKS untuk melihat ruang perniagaan pada sudut yang berbeza.
"Apabila ekonomi bertambah baik nanti perlunya ada simpanan dan yang keduanya PKS harus bergerak ke arah pendigital sebagai strategi perniagaan mereka.
"Saya lihat dana berkaitan pendigitalan untuk PKS juga banyak disediakan kerajaan dan PKS perlu mengambil peluang ini," ujarnya.
Seramai 10.19 juta penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sudah menerima bantuan membabitkan jumlah keseluruhan RM10.88 bilion.
Manakala RM12.16 bilion subsidi upah di bawah Program Subsidi Upah (PSU) telah diluluskan sehingga 30 Oktober 2020 yang memanfaatkan lebih 322,284 majikan serta lebih 2.639 juta pekerja.