Bantuan pasca banjir ringan beban mangsa di P.Pinang - Jeff

Astro Awani
November 16, 2017 08:00 MYT
JEFF: Program CSR ini tanda prihatin rakyat kepada mereka yang memerlukan. - Gambar fail
Bantuan pasca banjir di Pulau Pinang disifatkan penting untuk memastikan fasa pemulihan kehidupan masyarakat tidak terjejas kerana kekurangan keperluan asas.
Pengerusi Eksekutif JL 99 Group, Datuk Seri Jeff B.K Lee berkata, ia program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain tanda prihatin rakyat negara ini sendiri kepada mereka yang memerlukan.
"Pada kali ini kita telah mengambil satu inisiatif iaitu melakukan Program Khidmat Sosial Bantuan Pasca Banjir Pulau Pinang.
"Program kali ini adalah menjurus kepada membantu mangsa-mangsa banjir di kawasan Dato Keramat, Jelutong dan Bukit Bendera.
"Sumbangan berupa beras 10 kilogram sebanyak 1,000 kampit, 600 unit periuk nasi 600 buah, 700 unit kipas angin, 700 cerek disalurkan kepada hampir 1,000 mangsa banjir mengikut kawasan yang ditetapkan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Rabu.
BACA: Taburan hujan ekstrem punca banjir di Pulau Pinang - Wan Junaidi
BACA: Jangan guna peralatan elektrik yang terkena air banjir - Suruhanjaya Tenaga
Sebelum ini, angin kencang dan hujan lebat melanda Pulau Pinang menyebabkan banjir yang tidak pernah berlaku di beberapa kawasan mengakibatkan lima kematian dan lebih 2,000 orang dipindahkan.
Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak 2 petang Sabtu, yang turut menumbangkan puluhan pokok.
Dalam pada itu katanya, misi kali ini melibatkan seramai 40 orang sukarelawan.
"Kita akan menggunakan empat buah lori 3 tan, dua kenderaan pacuan empat roda selain sebuah bas untuk membawa sukarelawan serta peralatan bantuan.
"Penyampaian sumbangan ini juga mendapat kerjasama daripada Barisan Nasional (BN) yang melibatkan Parti Gerakan Pulau Pinang, UMNO Bahagian Jelutong dan UMNO Bahagian Bukit Bendera," ujarnya.
Sebelum ini, pihaknya banyak melakukan program kemasyarakatan dalam membantu golongan susah termasuk Program Bazar Ramadhan, sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim serta sumbangan kepada aktiviti keagamaan bagi selain bantuan baik pulih rumah ibadah.
#banjir #Barisan Nasional #GERAKAN #UMNO
;