Bantuan Pakej PRIHATIN masih berterusan, dianjak ke PENJANA
Ridauddin Daud
Jun 9, 2020 18:31 MYT
Jun 9, 2020 18:31 MYT
Bantuan-bantuan di bawah Pakej PRIHATIN masih berterusan meskipun selepas kerajaan mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, terdapat beberapa inisiatif di bawah PRIHATIN yang akan dianjakkan ke bawah PENJANA untuk tujuan pelaksanaan yang lebih efektif dan demi manfaat kumpulan sasar.
“Seperti yang diumumkan Perdana Menteri minggu lalu, di bawah Pakej PRIHATIN, lebih 2.4 juta pekerjaan diselamatkan, lebih 11 juta rakyat menerima bantuan bagi mengurangkan beban aliran tunai, dan lebih 300,000 syarikat dibantu. Insya-Allah, usaha ini berterusan.
“PENJANA pula merupakan pelan pemulihan ekonomi jangka pendek yang akan dilaksanakan antara bulan Jun dan Disember 2020.
“Bagi langkah-langkah memperkasakan rakyat, tumpuan khusus telah diberikan kepada pekerjaan dan sehubungan itu kerajaan memperuntukkan hampir RM9 bilion yang memanfaatkan seramai 3 juta tenaga pekerja,” katanya dalam sesi Facebook Live Perkongsian Laporan Ke-8 Pencapaian Prihatin - Laksana pada Selasa.
Tambah beliau, dalam perniagaan pula, pelbagai inisiatif tersedia untuk membantu syarikat bersaiz besar, Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan mikro dalam PENJANA.
“Pelaksanaan langkah-langkah dan inisiatif-inisiatif PRIHATIN dan PENJANA akan berjalan serentak demi manfaat rakyat.
“Unit LAKSANA di Kementerian Kewangan akan terus memantau dan memastikan pelaksanaan kedua-dua pelan ini berjalan dengan lancar, telus dan tepat,” katanya.
Jelasnya, secara keseluruhannya Pakej PRIHATIN dan PENJANA bernilai RM295 bilion, dengan RM45 bilion suntikan fiskal langsung.
#ekonomi
#Facebook
#Kementerian Kewangan
#kerajaan
#menteri
#Menteri Kewangan
#PENJANA
#Perdana Menteri
#PKS
#PRIHATIN
#rakyat
#Tengku Datuk Seri Zafrul