Bantuan Musim Tengkujuh berjumlah RM9.7 juta untuk peneroka tanaman getah Felda

Bernama
Januari 7, 2023 12:45 MYT
Setiap peneroka berkenaan akan menerima bantuan RM800, yang akan disampaikan menerusi tiga fasa.- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM9.7 juta kepada 12,138 peneroka tanaman getah Felda yang layak di seluruh negara, antara bulan Januari dan Mac ini.
Jabatan Komunikasi Strategik Felda dalam kenyataan hari ini berkata setiap peneroka berkenaan akan menerima bantuan RM800, yang akan disampaikan menerusi tiga fasa, dengan fasa pertama pada bulan ini, manakala fasa kedua bulan depan, dan fasa ketiga pada bulan Mac.
Menurutnya bayaran fasa pertama dan kedua masing-masing melibatkan nilai RM300 manakala fasa ketiga RM200, dan semua bayaran ini akan dibuat secara terus ke akaun bank peneroka terlibat.
Peneroka tanaman getah yang layak menerima bantuan ini terdiri daripada mereka yang menghantar hasil ke pusat mengumpul getah Felda, mereka yang tiada hasil kerana isu buruh atau serangan penyakit pokok getah serta mereka yang sedang dalam tempoh tanam semula bersama Felda.
"Bantuan ini diharap dapat meringankan beban peneroka tanaman getah yang terjejas ketika musim tengkujuh serta mencerminkan komitmen Felda untuk terus memberikan bantuan secara bersasar kepada kategori peneroka yang terkesan" menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Felda #Bantuan Musim Tengkujuh #penoreh getah #musim hujan #PM10
;