Bantuan Musim Tengkujuh akan dibayar bermula November ini
Raja Hisyam Raja Zaid
September 6, 2017 14:19 MYT
September 6, 2017 14:19 MYT
Lembaga Getah Malaysia akan mula membuat bayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada kesemua pekebun kecil dan pemilik getah di seluruh negara sebanyak RM200 seorang setiap bulan untuk tempoh tiga bulan bermula November 2017.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Dasar Dan Operasi Dr Suarni Sumormo kesemua pemegang kad Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) boleh memohon bantuan BMT dengan membuat permohonan melalui aplikasi atas talian atau menerusi laman sesawang LGM atau menerusi agensi pelaksana mereka bernaung.
Ini adalah bantuan yang diberikan kepada mereka yang kebiasaannya menghadapi masalah hasil getah apabila musim tengkujuh melanda.
Bantuan ini turut meliputi bukan sahaja penoreh atau pengusaha malah kepada pemilik kebun getah itu sendiri sama ada sudah mampu dituai hasil atau pokok getah mereka belum mencapai tahap matang yang mampu mengeluarkan hasil.
"Setakat sehingga semalam kita telah menerima permohonan daripada mereka untuk bantuan BTM ini sebanyak 5,000 lebih menerusi permohonan atas talian. Kita menjangkan akan berlaku peningkatan dalam permohonan ini.
"Mereka ini akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali iaitu RM200 bagi setiap kali pembayaran selama tiga bulan. Jika mereka memohon bulan September atau Ogos pembayaran akan dibuat pada bulan November.
"Jika mereka memohon pada bulan November, pembayaran akan mula dibuat pada Disember dan begitulah seterusnya.
"Kita telah buka permohonan pada 1 September lalu dan akan terus dibuka sehingga 31 Januari 2018. Mereka hanya perlu membuat permohonan sekali sahaja untuk tiga kali pembayaran itu. Pembayaran akan dibuat terus ke dalam akaun mereka," ujarnya.
Jumlah pekebun kecil getah individu yang didaftarkan setakat ini di seluruh negara melebihi 350,000 orang.
Dalam bajet 2017 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejumlah RM261 juta diperuntukkan untuk membantu 440,000 pekebun kecil getah di seluruh negara bagi menghadapi musim tengkujuh yang menjejaskan hasil getah yang dialami oleh mereka.
Ia adalah bantuan tambahan yang sedia ada kepada mereka sebelum ini bagi meringankan bebanan pekebun kecil getah.