Bantuan khas Sarawakku Sayang dibayar setiap 15 hari bulan bermula April

Astro Awani
April 2, 2020 15:34 MYT
Kerajaan negeri menggalakkan penggunaan SarawakPay untuk berbelanja ketika penularan wabak COVID-19.
Bantuan khas Sarawakku Sayang kepada golongan B40 di Sarawak akan disalurkan ke akaun masing-masing pada setiap 15 hari bulan bermula April hingga September 2020.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion berkata seramai 430,000 rakyat Sarawak akan menerima bantuan tunai bulanan sebanyak RM250 untuk enam bulan.
Katanya, bantuan khas itu merupakan langkah kerajaan negeri untuk meringankan beban golongan B40 yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.
"Bagi lebih daripada 23,000 penerima bantuan yang tidak memiliki akaun bank berdaftar, wang bantuan akan disalurkan melalui Pejabat Cawangan Perbendaharaan Negeri berdekatan tempat kediaman mereka melalui dua fasa.
"Fasa pertama adalah pada 15 hingga 30 April 2020 dan fasa kedua adalah 15 hingga 30 Ogos 2020," katanya menerusi kenyataan, pada Khamis.
Selain itu, Jaul mengingatkan penerima bayaran bantuan khas tersebut adalah dari senarai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pada bulan Januari 2020 yang diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).
Beliau menambah, kerajaan negeri menggalakkan penggunaan SarawakPay untuk berbelanja ketika penularan wabak COVID-19.
#bantuan khas #COVID-19 #Datuk Amar Jaul Samion #golongan B40 #Kuching #Sarawak #Sarawakku Sayang #setiausaha kerajaan negeri
;