Bantuan khas hargai penjawat awam, pesara Pahang

Bernama
Ogos 30, 2023 17:16 MYT
Menurut Wan Rosdy, bantuan khas itu melibatkan 8,000 penerima dengan implikasi kewangan RM2.4 juta. - Gambar fail/Astro AWANI
KUANTAN: Kerajaan Pahang mengumumkan pemberian Bantuan Khas Penghargaan Penjawat Awam dan Pesara Kerajaan Negeri masing-masing berjumlah RM300 dan RM200 seorang, yang dibayar bulan depan.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pemberian bantuan itu diluluskan pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini, melibatkan penjawat awam negeri gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai dan kakitangan kontrak.
Bantuan khas itu melibatkan 8,000 penerima dengan implikasi kewangan RM2.4 juta.
"Pemberian ini juga merupakan tanda penghargaan dan terima kasih daripada kerajaan negeri kepada penjawat awam yang sentiasa berdedikasi menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Rosdy juga berharap penjawat awam Pahang dapat meningkatkan perkhidmatan mereka demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri.
-- BERNAMA
#Bantuan Khas Penghargaan #penjawat awam #Wan Rosdy Wan Ismail #Kerajaan negeri Pahang #pesara
;