Bantuan Khas COVID-19: Permohonan insentif bagi individu, waris terkesan masih rendah - NADMA
Hafizi Rosli
Ogos 4, 2021 12:09 MYT
Ogos 4, 2021 12:09 MYT
KUALA LUMPUR: Permohonan bagi bantuan khas untuk individu yang terkesan dengan COVID-19 dilihat masih rendah berbanding jumlah kes baharu dan kematian yang dilaporkan meningkat setakat ini.
Menurut data daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sehingga Julai 2021, sekitar 31,218 permohonan sahaja diterima agensi itu daripada mereka yang dijangkiti COVID-19 dan 2,587 permohonan daripada waris mangsa yang meninggal dunia akibat virus berkenaan.
Permohonan itu adalah sangat kecil berbanding jumlah kes baharu serta kematian harian yang dicatatkan dalam negara.
Individu yang dijangkiti COVID-19 serta hilang pendapatan serta waris yang kehilangan insan tersayang disebabkan COVID-19 boleh memohon bantuan khas daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
"Bagi bantuan insentif RM100 hanya 31,218 permohonan diterima dan 14,923 sudah dikredit dengan bayaran berjumlah RM20.1 juta.
"Dan untuk insentif RM5,000 untuk waris korban COVID-19, 2,587 permohonan diterima dan 1,473 sudah terima pembayaran dengan jumlah keseluruhan RM6.15 juta," kata Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) NADMA, Mohamad Azhan Md Amir dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Jelas beliau, inisiatif ini sepatutnya direbut oleh semua pesakit dan bekas pesakit serta waris korban COVID-19 kerana ia dapat meringankan beban mereka.
Namun tidak dinafikan, terdapat kekangan yang mungkin dialami individu ini
"Susulan PKP yang dilaksanakan mungkin ada kesukaran untuk dapat dokumen (surat kematian), dan kami beri kelonggaran untuk waris boleh kemukakan dokumen daripada pihak hospital serta kebenaran pengebumian bagi insentif RM5,000 itu," katanya.
Jelas beliau, bagi mereka yang belum membuat permohonan boleh mengetahui syaratnya dan membuat permohonan bagi bantuan khas dan bantuan khas pengurusan kematian COVID-19 di laman sesawang NADMA.
Permohonan dibuka walau individu itu dijangkiti pada tahun lalu dengan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan RM100 sehari untuk individu hilang mata pencarian susulan dijangkiti COVID-19 serta RM5,000 bagi waris korban COVID-19.
AWANI Pagi: Bantuan Khas COVID-19 oleh NADMA
#COVID-19
#PKP
#NADMA
#bantuan khas covid-19
#waris
#individu
#pesakit COVID-19
#meninggal dunia
#kuarantin