Bantuan Khas COVID-19: Elak permohonan berulang, dokumen perlu lengkap - NADMA
Harits Asyraf Hasnan
September 3, 2021 17:27 MYT
September 3, 2021 17:27 MYT
KUALA LUMPUR: Pemohon Bantuan Khas COVID-19 yang dikelolakan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dinasihati untuk tidak membuat permohonan berulang bagi mengelakkan kelewatan proses kelulusan.
Ia merangkumi Bantuan Khas COVID-19 kepada individu yang hilang pendapatan ketika dalam tempoh kuarantin serta Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 kepada waris.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Aminuddin Hassim berkata pihaknya menerima sekitar 300 permohonan sehari dan memerlukan penelitian sewajarnya sebelum sebarang keputusan sama ada untuk menerima atau menolak permohonan dibuat.
"Ada tuntutan yang lebih daripada seorang, contohnya si mati mempunyai dua atau tiga orang isteri, mereka perlu bersepakat berkenaan siapa yang akan memohon.
"Ada situasi di mana anak-anak si mati membuat beberapa permohonan atas nama pemohon yang berbeza bagi satu si mati.
"Ini telah menyebabkan pihak kami mengambil masa yang begitu lama untuk memproses borang-borang permohonan tersebut," katanya pada sidang media secara maya pada Jumaat.
Selain memastikan borang permohonan yang lengkap, pemohon juga perlu memastikan kualiti semua dokumen lampiran adalah jelas.
"Pihak NADMA akan mengemukakan bayaran bantuan khas itu dalam tempoh 30 hari bekerja dari tarikh penerimaan dokumen permohonan yang lengkap," katanya.
Justeru, pemohon boleh menyemak status kelulusan selepas 14 hari bekerja dari tarikh permohonan lengkap diterima oleh NADMA.
Sehingga 31 Ogos lalu, NADMA telah meluluskan sejumlah 16,722 permohonan Bantuan Khas COVID-19 NADMA melibatkan dana berjumlah RM22,227,700.
Sementara, 3,235 permohonan Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 NADMA telah diluluskan dengan peruntukan RM16,175,000.
Info lanjut:
Bantuan Khas COVID-19 NADMA
Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 NADMA
Semakan Status Kelulusan Permohonan Bantuan Khas COVID-19 NADMA