Bantuan Khas BERNAS disalur kepada pesawah mulai 16 Januari
Afiezy Azaman
Disember 31, 2022 10:40 MYT
Disember 31, 2022 10:40 MYT
KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 akan disalurkan secara berperingkat kepada pesawah.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Mohamad Sabu, bantuan khas BERNAS sebanyak RM10 juta bagi tahun 2022 ini akan diberikan kepada tiga buah negeri di Pantai Timur terlebih dahulu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Jelasnya, pesawah di negeri-negeri lain akan menerima apabila baki bantuan khas BERNAS berjumlah RM50 juta disalurkan.
"Pesawah di tiga buah negeri terbabit akan menerima bantuan khas ini selewat-lewatnya pada 16 Januari depan.
"MAFS dan agensi dibawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar.
"Seramai 20,598 pesawah akan menerima manfaat daripada sumbangan BERNAS ini berjumlah RM250 bagi setiap pesawah," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Pada awal Disember lalu, BERNAS bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta bagi membantu pesawah di seluruh
negara.