Bantuan khas Aidilfitri RM1,000 untuk penjawat awam di Perak

Abd Razak Mohd Ali
Mei 20, 2020 16:26 MYT
Bantuan khas Aidilfitri itu, kata Ahmad Faizal Azumu sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri kepada penjawat awam di Perak. - Gambar fail
Sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam di Perak yang banyak membantu rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerak (PKP), kerajaan negeri mengumumkan pemberian bantuan khas Aidilfitri tahun 2020 sebanyak RM1,000 seorang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bantuan khas itu mula dibayar hari ini.
Beliau berharap bantuan khas itu sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan beban penjawat awam yang terkesan akibat pelaksanaan PKP susulan penularan pandemik COVID-19.
“Saya ingin menyeru, agar bantuan ini dibelanjakan sebaiknya untuk persiapan Aidilfitri yang sederhana, agar bantuan ini akan nanti sampai juga ke kantung peniaga-peniaga dan penjaja kecil seluruh negeri Perak hendaknya,” katanya ketika membentangkan Pakej Ransangan Ekonomi Negeri Perak fasa dua di pejabatnya di sini, hari ini.
Ahmad Faizal turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada semua muslimin dan muslimat di negeri Perak.
Dalam menyambut Hari Raya, beliau mengingatkan rakyat supaya terus menjaga keselamatan dengan penjarakan sosial, selalu cuci tangan, jaga kebersihan diri dan teruskan amalkan disiplin norma baharu.
“Tangguhkan dahulu tradisi bersalam-salaman dan berpeluk cium, khususnya melibatkan warga emas kerana mereka adalah kumpulan berisiko tinggi,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua merek yang mematuhi arahan supaya tidak pulang ke kampung halaman bagi memutuskan rantaian COVID-19.
#Ahmad Faizal Azumu #bantuan khas Aidilfitri #Menteri Besar #penjawat awam #Perak
;