Bantuan khas Aidilfitri RM1,000 bagi penjawat awam Kedah
Bernama
Mei 16, 2019 11:48 MYT
Mei 16, 2019 11:48 MYT
Kerajaan Kedah meluluskan bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada setiap penjawat awam negeri sempena sambutan Aidilfitri bulan depan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika mengumumkan perkara itu berkata, bayaran bantuan itu akan dibuat pada 30 Mei ini.
Beliau berkata seramai 4,711 penjawat awam negeri, termasuk 316 pegawai lantikan kontrak dan sementara akan menerima bantuan tersebut.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan para penjawat awam negeri agar mengukuhkan ikatan silaturrahim serta tidak hilang fokus dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang semakin mencabar.
"Saya ingin mengingatkan penjawat awam supaya berfikir secara kreatif dan kritis dalam melaksanakan tugas dan memastikan perkhidmatan awam tidak dipertikaikan dan bertindak pantas dalam tugasan berlandaskan prinsip bersih, cekap dan amanah," katanya pada perhimpunan pagi dan program Ihya Ramadan di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Katanya dalam mengejar arus pemodenan, semua pihak harus sentiasa berfikiran terbuka dan bersedia dengan cabaran teknologi terkini dan perubahan politik negara. -- Bernama