Bantuan kepada pelajar Palestin di UUM dilaksana sejak 2017

Astro Awani
November 17, 2023 15:30 MYT
Prof Mohd Foad Sakdan berkata, UUM ketika ini menerima 64 pelajar dari Palestin yang menuntut ilmu di dalam pelbagai bidang pengurusan. - Gambar/ Ihsan UUM
SINTOK: Pemberian bantuan kepada pelajar Palestin yang melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia (UUM) sentiasa diperhalusi sesuai dengan keperluan mereka untuk menuntut ilmu.
Menurut Naib Canselor UUM, Prof Mohd Foad Sakdan, pemberian bantuan kepada pelajar Palestin dibuat di atas dasar kemanusiaan disebabkan peperangan yang berlaku di negara asal mereka.
Katanya, sejak 2017, UUM hanya mengenakan yuran pengajian kepada mereka mengikut kadar yang sama dikenakan terhadap pelajar Malaysia.
"Kebiasaannya, kadar yuran pelajar antarabangsa adalah lebih tinggi berbanding pelajar tempatan yang mendapat tempat di UUM.
“Manakala, bantuan lain seperti sumbangan komputer dan sebagainya dibuat berdasarkan keperluan semasa pelajar Palestin yang menuntut ilmu di UUM.
"Ketika ini, UUM menerima 64 pelajar dari Palestin yang mengikuti pengajian di dalam pelbagai bidang,” katanya pada sidang media menjelang Majlis Konvokesyen ke-36 yang berlangsung pada 19 hingga 23 November ini.
Pada majlis kali ini, 5,371 merupakan graduan tempatan manakala 349 lagi adalah graduan antarabangsa.
Mengulas lanjut, Mohd Foad berkata, UUM menyokong cadangan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) supaya semua pelajar Palestin yang sedang menuntut di Malaysia dikecualikan daripada yuran pengajian selama setahun.
Selain pengecualian yuran, KPT juga sedang mempertimbang pemberian elaun bulanan selama setahun kepada pelajar Palestin di universiti awam dan swasta di negara ini.
#UUM #Dr Mohd Foad Sakdan #Palestin #bantuan pelajar Palestin
;