Bantuan kepada Filipina bukti komitmen tangani ancaman Daish bersama
Bernama
Julai 22, 2017 17:27 MYT
Julai 22, 2017 17:27 MYT
Malaysia akan menghantar bantuan fasa kedua kepada tentera Filipina tidak lama lagi sekali gus membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman militan Daish bersama.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berkata semalam Malaysia sudah menghantar bantuan kemanusian merangkumi bekalan makanan serta perubatan menerusi pesawat pengangkut A400m.
Hishammuddin, yang baharu pulang dari lawatan ke tiga negara Asia Barat semalam berkata bantuan fasa kedua itu bakal melibatkan penghantaran pasukan perubatan hadapan Angkatan Tentera Malaysia, peralatan menyediakan air bersih dan pasukan Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).
"Mereka (Filipina) maklumkan mereka memerlukan air dan perubatan dan pada masa sama kita juga akan hantar pasukan Kagat supaya, pelarian dari Marawi itu tidak berada dalam keadaan terdesak dan susah.
Kita khuatir dalam keadaan itu mereka (pelarian) mudah dipengaruhi oleh kumpulan militan sebab itu kita kena memenangi hati dan pemikiran dengan mendekati mereka," kata beliau selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Bandar Putra di sini hari ini.
Hishammuddin, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas itu berkata usaha itu diambil bagi membendung situasi di Marawi daripada merebak ke sempadan negara.
Katanya, pengumuman kumpulan militan itu mengenai wilayah Islamiah yang mahu diwujudkan adalah merangkumi Malaysia, Singapura, Indonesia, Filipina dan Jepun itu, juga tidak boleh dipandang ringan.
Justeru itu, hasil lawatannya ke Bahrain, Emiriah Arab Bersatu dan Saudi Arabia itu turut memudahkan perkongsian maklumat terutama usaha mereka yang berjaya menangani ancaman Daish di negara mereka.
"Kunjungan saya berkisar kepada isu pertahanan dan keselamatan dan satu perkara saya beri tumpuan adalah berhubung ancaman Daesh. Jadi, kita belajar dan ambil iktibar supaya apa yang mereka lalui tidak menimpa kita di sini," kata beliau.
-- BERNAMA