Bantuan kemanusiaan ke Gaza: Kerajaan berpengaruh perlu ambil pendirian tegas terhadap Israel
Astro Awani
Februari 20, 2024 23:23 MYT
Februari 20, 2024 23:23 MYT
KUALA LUMPUR: Mana-mana kerajaan yang mempunyai pengaruh terhadap Israel sepatutnya mengambil pendirian yang sangat tegas dalam memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Pengarah Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Dan Smith berkata, ia antara langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kecekapan pengagihan bantuan ke Gaza.
Ia sekali gus dapat mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan sedia ada seperti di Rafah.
"Saya rasa elemen utama di sini adalah benar-benar berkaitan dengan tindakan angkatan tentera Israel dan keputusan oleh kerajaan Israel.
"Jika pengeboman atau kempen ketenteraan berhenti... Tetapi lebih baik semua tekanan (sekatan) dilepaskan dari titik lintasan Rafah ke Gaza," katanya dalam satu rakaman video.
Smith menambah undang-undang kemanusiaan antarabangsa juga mengikat semua pihak termasuk Israel untuk menyediakan akses kemanusiaan kepada mereka yang terjejas.
"Dengan tidak menyediakan akses kemanusiaan, walaupun berdebat tentang perkara itu, ia sebenarnya melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
"Kamu tidak sepatutnya berunding (untuk mendapatkan) akses (kerana) kamu patut mendapatnya," ujarnya.
Mengulas lanjut, Smith berpandangan agensi-agensi kemanusiaan perlu memperkemas atau membuat inovasi bagi mempercepatkan pengagihan bantuan ke Gaza.
"Saya rasa hampir tidak ada alternatif yang boleh dibayangkan sama ada tiba dengan cara lain. Israel bukanlah sebuah negara yang terpencil dari talian pengangkutan dan komunikasi dunia, sama ada melalui laut, darat atau oleh ketiga-tiganya.
"Tetapi persoalannya ialah sama ada Israel kemudiannya akan meneruskan (penyaluran bantuan) dengan cara yang bermakna ke Gaza," kata Smith lagi.
Mengenai kajian kes di zon konflik yang telah berjaya dan boleh disesuaikan di Gaza, ini jawapan Smith:
"Saya berpendapat bahawa masalah di Gaza, setakat yang saya faham, ialah titik akses sangat sedikit.
"Kamu biasanya bercakap tentang situasi di mana kamu mempunyai lebih banyak akses ke negara atau (sesuatu) wilayah itu. Tetapi Gaza, seperti yang kita tahu pada dasarnya mempunyai tembok di sekelilingnya dan kebanyakan pintu telah ditutup oleh Israel. Sekarang kita pada asasnya memberi tumpuan kepada sempadan Rafah."
Sementara itu, menjawab kebimbangan konflik di Timur Tengah, beliau berkata ketika ini terdapat lebih 50 konflik bersenjata di dunia termasuk Ukraine, Sudan serta Myanmar.
Begitu pun, Smith menyifatkan krisis di Gaza sebagai semakin meruncing.