Bantuan kemanusiaan dari Malaysia tiba di Kabul
Syafik Shukri Jalil
Februari 23, 2022 18:50 MYT
Februari 23, 2022 18:50 MYT
KABUL: Sejumlah lima tan barangan bantuan misi kemanusiaan Malaysia untuk Afghanistan selamat tiba di ibu negara itu hari ini.
Kesemua barangan keperluan asas itu tiba di sini menerusi pesawat khas yang turut menerbangkan 12 delegasi termasuk pegawai dari Wisma Putra, perwakilan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Buddha’s Light International Assocation (BLIA) serta wakil media.
Antara kelengkapan yang disumbangkan dalam misi kali ini termasuk susu tepung untuk bayi, set pakaian musim sejuk, set alat tulis dan makanan kering.
Di Kabul, ketibaan delegasi Malaysia disambut Penasihat Khas Hal Ehwal Afghanistan di Wisma Putra, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman bersama Jurucakap Kementerian Luar Afghanistan, Abdul Qahar Balkhi.
“Ini merupakan satu mesej daripada rakyat Malaysia menerusi NGO terkesan dengan apa yang berlaku di Afghanistan.
“Ini juga merupakan satu gambaran bahawa rakyat Malaysia prihatin terhadap apa yang berlaku di Afghanistan dan lebih memberi signifikan besar adalah rombongan ini merupakan sumbangan terbesar dari Buddhist Light International Association (BLIA).
“Jelas ini memberi impak kepada kerajaan Afghanistan bahawa kita sangat prihatin dengan situasi di sini,” kata Ahmad Azam semasa ditemui selepas sesi penyerahan bantuan kemanusiaan Malaysia kepada pemimpin Afghanistan.
Sementara itu, Abdul Qahar menyifatkan bantuan ini tiba tepat pada masanya di saat dunia ‘merampas’ hak asasi mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Kami ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia terutama kepada masyarakat beragama Buddha untuk penghantaran misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Afghanistan di waktu yang sangat diperlukan ketika ini.
“Sekarang ini di Afghanistan, hak kami sebagai manusia seperti ‘dirampas’ dan memberi impak yang buruk menerusi sekatan dan pengasingan terhadap kami.
“Oleh itu, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas jasa baik ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Setiausaha BLIA Asia Tenggara, Ven Jue Cheng berkata, pihaknya mengharapkan bantuan ini mampu membantu masyarakat di Afghanistan yang terkesan ketika ini.
“BLIA selalu mengambil tahu jika terjadi sebarang kecelakaan di setiap bahagian di seluruh dunia jadi kali ini kami datang ke Afghanistan atas sifat belas kasihan.
“Jadi kami berharap pertolongan walaupun tidak sebesar mana akan mampu membantu kanak-kanak dan golongan wanita serta mereka yang memerlukan dengan membekalkan susu dan pakaian musim sejuk.
“Besar harapan saya agar mereka akan terus bertahan dan kami juga mengharapkan keamanan di bumi Afghanistan,” jelasnya.
Sumbangan keseluruhan bernilai RM1.012 juta ini akan diedarkan kepada pelbagai NGO tempatan seperti Ehsas Welfare and Social Service Organisation (EWSSO), Humanitarian Assistance Society (HAS), Afghan Welfare Society (AWS) dan Just for Afghan Capacity and Knowledge (JACK).