Bantuan Keluarga Malaysia, MySPR Semak dominasi senarai carian Google Malaysia

Fahmi Izuddin
Disember 9, 2022 02:50 MYT
Carian MySPR Semak, Keputusan PRU15, MyUndi, dan Anwar Ibrahim yang tergolong dalam 10 carian popular.- Foto Google
KUALA LUMPUR: Bantuan Keluarga Malaysia, MySPR Semak dan World Cup 2022 menduduki tangga teratas carian paling popular rakyat Malaysia menerusi enjin carian Google.
Google Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November, rakyat ingin mengetahui perkembangan politik semasa tanah air dan menerusi carian 'MySPR Semak’, ‘Keputusan PRU15’, dan ‘MyUndi’ tergolong dalam 10 carian teratas.
Sementara itu, beberapa personaliti tempatan dan antarabangsa daripada pelbagai bidang turut menjadi tumpuan dalam enjin carian tersebut.
Untuk personaliti tempatan, kebanyakannya merupakan ahli politik termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di tangga pertama. Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masing-masing berada dalam senarai 10 carian popular kategori personaliti tempatan.
Bagi kategori personaliti antarabangsa pula, susulan kes keganasan rumah tangga pelakon Hollywood Johnny Depp dan bekas isterinya Amber Heard mendominasi dua tangga teratas carian popular Google Malaysia.
Senarai itu turut memaparkan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dan penyanyi pop antarabangsa, Adam Levine.
Selain itu, pemergian mendiang monarki Britain Queen Elizabeth merupakan carian tertinggi bagi kategori “Dalam Ingatan”.
Turut menjadi tumpuan rakyat Malaysia, pelakon dan penyanyi negara, Allahyarham Adibah Noor menduduki tangga kedua dalam senarai tersebut.
Pemergian lain yang berada dalam senarai termasuk pelakon Thailand TangMo, pelakon drama tempatan Syazlin Zainal, bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe, turut berada dalam senarai.
#Google #Carian Popular #Malaysia #enjin carian