Bantuan kelangsungan hidup: Niat yang baik tapi cara mungkin tidak kena - Persatuan penjaja
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 28, 2021 12:17 MYT
Jun 28, 2021 12:17 MYT
KUALA LUMPUR : Persatuan Penjaja Dan Peniaga Kecil Melayu Kuala Lumpur hari ini mengakui usaha yang kerajaan lakukan hari ini bagi membantu golongan penjaja meneruskan kelangsungan hidup mereka.
Namun menurut Yang di Pertuanya, Datuk Muhamad Abdullah, usaha itu tidak memberi kesan yang besar jika Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (PKP) 3.0 yang dilaksanakan ketika ini tidak memberi ruang yang cukup buat mereka.
“PKP ini melibatkan semua iaitu daripada peniaga sehinggalah kepada pembeli. Tapi, jika penjaja itu diberikan kelonggaran untuk berniaga namun tiada orang yang membeli pun susah juga. Mereka ni berniaga bukan nak kaya tapi hanya cukup-cukup untuk menampung hidup.
“Kalangan penjaja juga tidak semua jualan mereka berjalan lancar menerusi dalam talian. Sedangkan sebenarnya boleh sahaja perniagaan mereka dibenarkan beroperasi dengan SOP yang sepatutnya," katanya.
Pihaknya sedar tujuan baik kerajaan iaitu selain untuk melandaikan keluk pandemik COVID-19 ia juga untuk kebaikan semua.
Namun dalam masa yang sama, beliau turut berpandangan bahawa harus ada langkah yang lebih efektif dan ampuh yang mungkin mampu dilaksanakan untuk semua rakyat Malaysia.
“Jika kita lihat, banyak sebenarnya kluster baharu COVID-19 itu wujud dari kilang-kilang besar yang dibenarkan beroperasi. Sebahagian mereka melibatkan pekerja asing yang tidakpun menerima suntikan vaksin.
“Lebih buruk apabila mereka menjangkiti orang lain sedangkan kenapa tidak ditutup langsung kilang-kilang tersebut dari awal? Sedangkan dalam masa yang sama, peniaga-peniaga kecil terpaksa menutup perniagaan mereka.
“Sepatutnya kerajaan jika mahu membenarkan mereka beroperasi, pastikan semua pekerjanya menerima vaksin dan pemilik kilang berkenaan sebaiknya menanggung kos vaksin berkenaan jika mahu meneruskan operasi,” jelasnya.
Tambah Muhamad, sudah tentunya pihaknya gembira dengan bantuan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dilihat sedaya upaya mencuba sebaik mungkin, namun katanya, kegembiraan itu seakan tersekat kerana dirasakan ada langkah yang lebih baik boleh dilakukan.
“Jika kita lihat di beberapa negara jiran kita, mereka sudah hampir boleh melakukan banyak aktiviti ketika ini kerana kawalan jangkitan itu ditangani dengan cara yang sepatutnya,” jelas beliau.
#SOP
#Melayu
#pekerja asing
#peniaga
#COVID-19
#pandemik
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#vaksin
#suntikan
#jangkitan
#Persatuan Penjaja