Bantuan Kasih Negeri Johor peruntuk RM144.36 juta untuk manfaat 3.69 juta penduduk - Onn Hafiz
Aiman Hakeem Awazmin
April 14, 2022 13:54 MYT
April 14, 2022 13:54 MYT
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM144.36 juta menerusi Bantuan Kasih Negeri Johor yang bakal memanfaatkan kira-kira 3.69 juta penduduk di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, ia melibatkan 28 inisiatif yang bertunjangkan lima kategori utama iaitu kemasyarakatan, kebajikan, orang muda Johor, pendidikan dan ekonomi.
Katanya, pengagihan bantuan akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat sebagai tanda penghargaan dan kasih kerajaan negeri kepada semua rakyat Johor.
"Bantuan Kasih Negeri Johor ini merangkumi lima kategori utama. iaitu pertamanya kemasyarakatan, kedua kebajikan, ketiga orang muda johor, keempat pendidikan dan kelima ekonomi.
“Bantuan kasih ini merangkumi 28 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM144.36 juta yang bakal memanfaatkan 3.69 juta rakyat johor,” katanya.
Tambahnya, menerusi kategori pertama iaitu kemasyarakatan, sebanyak lapan inisiatif digariskan dengan dana berjumlah RM34.16 juta diperuntukan bagi menyantuni penduduk terkesan terdiri golongan nelayan, penggerak masjid, pesara polis dan askar serta pekerja di sektor pengangkutan.
Manakala sebanyak RM44.76 juta disalurkan bagi kategori kebajikan membabitkan enam inisiatif, yang bakal memanfaatkan kira-kira 103,800 orang terdiri golongan miskin, warga emas, anak yatim dan pesakit kronik.
Bagi kategori orang muda Johor pula, sebanyak empat inisiatif dilaksanakan yang melibatkan dana berjumlah RM11.2 juta bagi menyantuni belia dan remaja di Johor.
Disamping RM21 juta diperuntukan buat kategori pendidikan, yang memanfaatkan lebih kurang 125,000 penerima terdiri pelajar, mahasiswa dan graduan di Johor melalui tiga inisiatif yang digariskan.
Manakala tujuh inisiatif dibentangkan dalam kategori ekonomi, yang melibatkan dana berjumlah RM33.28 juta dan memberi manfaat kepada 79,700 peniaga dan pengusaha di sektor pelancongan.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut bersetuju menyalurkan bantuan kewangan sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 ringgit kepada kira-kira 13,400 penjawat awam negeri ini dengan pembabitan dana berjumlah RM18.81 juta.