Bantuan JKM RM1,000: Teo Nie Ching persoal sudah 11 bulan berlalu
Hasimi Muhamad
Oktober 27, 2021 13:39 MYT
Oktober 27, 2021 13:39 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching hari ini mempersoalkan cadangan menaikkan kadar bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM1,000 sebulan berbanding RM200 hingga RM300, yang sehingga kini masih belum dilaksanakan selepas hampir 11 bulan.
Nie Ching berkata, adakah cadangan yang dibuat di bawah pentabiran kerajaan sebelum ini hanya sekadar janji kosong apabila tiada sebarang usaha dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk merealisasikan perkara itu.
"Apa usaha kementerian dan timbalan menteri untuk pastikan bahawa cadangan RM1,000 sebulan ini dapat dilaksanakan, atau pun timbalan menteri nak cakap dalam Dewan Rakyat ini bahawa janji atau cadangan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada masa itu adalah satu janji yang kosong?
"Atau pun kita perlu minta Dewan Bahasa dan Pustaka untuk pinda definisi "segera". Segera itu bukan maksud tiga minit lagi, segera ini adalah maksudnya lebih daripada satu tahun," katanya di Dewan Rakyat, pada Rabu.
Pada 3 Disember tahun lalu, Muhyiddin memberi jaminan, cadangan menaikkan kadar bantuan JKM kepada RM1,000 sebulan, akan dilaksanakan segera.
Menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Nie Ching, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata kementerian telah pun menghantar cadangan kepada Kementerian Kewangan (MoF).
Bagaimanapun, Siti Zailah berkata sebarang kelulusan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan, selain menegaskan kenaikan bantuan kepada RM1,000 akan melibatkan peruntukan tambahan yang besar.
Mendengar jawapan tersebut, Nie Ching sekali lagi bangkit mempersoalkan apakah janji yang dibuat oleh Perdana Menteri ketika itu adalah sesuatu yang tidak realistik.
Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) kemudian bangkit mencelah dengan menyatakan janji adalah bukan kitab suci.
Sebelum itu, Nie Ching pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan meminta kementerian menyatakan bila bantuan bulanan RM1,000 JKM untuk golongan orang kurang upaya (OKU) akan dilaksanakan.
Menjawab soalan tersebut, Siti Zailah berkata konsep pelaksanaan kenaikan kadar bantuan JKM adalah lebih memberi fokus kepada keperluan isi rumah dan merujuk kepada penggabungan bantuan mengikut keperluan sesebuah isi rumah yang mempunyai pelbagai kategori seperti warga emas, OKU, ibu tunggal yang mempunyai anak-anak yang berumur di bawah 18 tahun serta pesakit kronik terlantar.
Katanya, sekiranya sesebuah isi rumah memenuhi semua kriteria yang ditetapkan, jumlah bantuan yang diterima isi rumah berkenaan adalah melebihi RM1,000.00 sebulan.
"Contohnya sekiranya dalam sesebuah isi rumah itu terdapat seorang warga emas, seorang OKU yang tidak bekerja dan ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak yang berumur bawah 18 tahun serta seorang pesakit kronik terlantar, jumlah bantuan yang diterima adalah antara RM1,900 sebulan," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata kerajaan juga tidak mempunyai perancangan untuk menaikkan kadar bantuan kebajikan dalam masa terdekat memandangkan pada pembentangan Belanjawan 2021, kadar bantuan yang melibatkan empat skim bantuan telah dinaikkan.