Bantuan I-Fitri dibayar bermula 17 April
Astro Awani
Mac 21, 2022 07:15 MYT
Mac 21, 2022 07:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Seramai 148,700 ketua isi rumah yang layak akan menikmati bayaran Bantuan I-Fitri 2022 secara tunai bermula 17 April depan.
Ia membabitkan peruntukan RM56.4 juta, menurut Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Katanya, seramai 128,450 penerima kategori A yang berpendapatan bulanan tidak lebih RM2,500 akan menerima RM400, melibatkan peruntukan RM51.3 juta.
Sementara itu, penerima bantuan kategori B (pendapatan isi rumah antara RM2,501 hingga RM5,000) pula akan menerima RM250, melibatkan seramai 20,250 penerima.
"Mulai esok kita akan buka permohonan secara dalam talian. Sebelum ini, kerajaan melancarkan bancian Profil Rakyat Terengganu 2020 (PRT20) dan semua nama-nama dalam PRT ini layak mendapat I-Fitri.
"Sesiapa yang tak isi lagi PRT, saya galakkan mereka isi supaya nama mereka dimasukkan. Kalau mereka memenuhi syarat, mereka akan dapat bantuan ini.
"Mulai 1 hingga 15 Ramadan ialah masa untuk kita proses permohonan. Insya-Allah selepas 15 Ramadan, kita akan membuat pembayaran," katanya kepada media di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Jelas Hanafiah, pemohon yang berjaya akan menerima baucar melalui agihan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
Bayaran itu, katanya, akan dibuat di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Bantuan i-Fitri adalah pemberian dana raya yang diumumkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan Bajet Terengganu 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) November 2021.