Bantuan geran secara efektif impak ekosistem keusahawanan Bumiputera
Mohsein Shariff
September 8, 2019 09:00 MYT
September 8, 2019 09:00 MYT
BARU-BARU ini satu laporan berita portal memetik Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof sebagai berkata kerajaan tidak lagi akan memberi geran percuma kepada usahawan Bumiputera kerana tidak mahu usahawan bumiputera terlalu bergantung kepada bantuan geran kerajaan.
Usahawan Bumiputera pada masa sama tidak mempersiapkan diri dengan ilmu bisnes dan kekuatan untuk bertahan dalam dunia perniagaan.
Kenyataan menteri walaupun tajam dan pahit untuk diterima oleh segelintir usahawan Bumiputera, parti politik dan dewan-dewan perniagaan yang memayungi usahawan Bumiputera tetapi hakikatnya keputusan tersebut merupakan implikasi dari sikap dan tindakan penerima geran terdahulu serta pendekatan kerajaan lalu dalam pemberian bantuan geran.
Kerajaan hari ini juga harus menerima kenyataan bahawa sistem pemberian geran sedia ada tidak dinamik dan tidak lagi berupaya memberi manfaat secara holistik dalam memperkasa keusahawanan bumiputera sebagai pihak berkepentingan.
Walaupun Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akhirnya tetap meneruskan pemberian geran kepada usahawan bumiputera, sebagai bentuk bantuan kepada golongan sasar yang benar-benar layak.
Namun demikian saya percaya usaha yang lebih tersusun dan efektif harus digembleng di pihak agensi yang terlibat di bawah MED; agar usahawan bumiputera turut merangsang ekonomi negara melalui aktiviti bisnes mereka dan bukan sekadar menjadi penerima manfaat dari bantuan geran.
Sebagai sebuah kementerian yang diwujudkan semula dalam era Malaysia Baru, Kementerian Pembangunan Usahawan bukan sahaja membantu membangunkan usahawan malahan perlu dilihat mengutamakan dan memudahcara para usahawan dalam kerangka dasar nasional DKN2030.
Kerjasama yang kolektif di antara pihak kerajaan dan semua pihak berkepentingan wajar diwujudkan agar strategi perlaksanaan inisiatif pembiayaan geran dan pinjaman perniagaan memberi impak kepada ekosistem keusahawanan yang akan dibina dan bukan sekadar hanya memenuhi KPI agensi masing-masing dan pihak kementerian.
Perkara utama yang seharusnya ada pada semua penjawat kerajaan di Kementerian Pembangunan Usahawan adalah kebersamaan dan pemahaman tentang dunia keusahawanan itu sendiri selain sentiasa kompeten menyelami dan menjiwai semangat dan cabaran para usahawan.
Dalam usaha membantu meningkatkan daya saing usahawan, penjawat kerajaan yang diamanahkan sebagai pegawai penilai geran mesti berani mengambil risiko dengan usahawan yang layak dan bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan dalam perniagaan (walaupun bukan secara langsung) sekiranya bantuan geran yang diberikan tidak memberi pulangan kepada bisnes seperti yang dijangkakan. Itulah prinsip perniagaan; ada untung dan rugi.
Bantuan geran yang telah dilaburkan kerajaan sebaiknya dianggap sebagai pelaburan modal awal (seed capital) dari kementerian untuk para usahawan merangsang perniagaan mereka.
Sekiranya geran pelaburan modal awal dianggap tidak adil dan berkemungkinan disalahguna maka mekanisme lain boleh dicadangkan; contohnya semua bantuan geran bermula sebagai geran padanan yang boleh ubah.
Sekiranya pembiayaan tersebut berupaya merangsang perniagaan hingga berjaya maka geran padanan itu boleh di ubah menjadi geran ‘percuma’ mengikut terma-terma yang dipersetujui antara Kementerian dan usahawan dari awal pemberian geran.
Di bawah MED terdapat 10 agensi yang diberi tugasan dan amanah untuk membantu dan menyelia para usahawan dalam perniagaan dengan segala bentuk bantuan.
Tidak kira sama ada bantuan itu merupakan dana kewangan mahupun latihan keusahawanan dari agensi–agensi terbabit; apa yang harus diperkasakan adalah penyelarasan dan fokus kategori usahawan oleh setiap agensi.
Contohnya, Tekun Nasional merupakan agensi yang membantu usahawan mikro maka segala bentuk bantuan dan geran kepada usahawan mikro haruslah disalurkan melalui Tekun.
Agensi seperti SME Corp pula yang berperanan sebagai pusat rujukan untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Malaysia wajar memberi penekanan khusus kepada usahawan-usahawan PKS yang telah berjaya mendapat penarafan SCORE 2 hingga 4 bintang dan membimbing mereka untuk lebih maju ke hadapan dengan bantuan geran padanan SME Corp seperti GEB , BAP dan BEEP.
Usahawan mikro dibawah SME Corp sewajarnya diletakkan di bawah Tekun Nasional manakala usahawan startup diserahkan kepada pihak MAGIC untuk dibimbing dan dibantuselia melalui ‘business pitching’ dan padanan mentor bisnes. Dengan adanya fokus dan pengkhususan gerak kerja dalam membimbing usahawan, keupayaan setiap agensi dapat dipertingkatkan.
Kementerian boleh menubuhkan satu sekretariat koordinasi agensi-agensi di bawahnya agar setiap agensi tidak bergerak secara silo malah mampu berkerjasama secara ‘cross-functional’ dengan menggabungkan jalinan tenaga, kepakaran serta pengalaman dalam membantu usahawan untuk berjaya dalam perniagaan.
Di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan turut terdapat 2 Bank yang memfokus kepada pembangunan usahawan. SME Bank adalah salah satu bank sejak dahulu lagi mempunyai mandat dan dana dari kerajaan untuk membantu usahawan.
Sebagai sebuah bank khusus untuk usahawan, SME Bank seharusnya tidak meletakkan keuntungan bank semata-mata sebagai keutamaan. SME Bank wajar memastikan kepelbagaian produk pembiayaannya kepada usahawan, memenuhi kapasiti dan keupayaan usahawan khususnya usahawan Bumiputera untuk membayar balik pinjaman.
Selain memberikan tempoh penangguhan pembayaran lebih panjang, kadar faedah yang lebih rendah, SME Bank wajar tidak meletakkan syarat-syarat kelayakan yang terlalu tinggi untuk dipenuhi.
Banyak yang boleh kita pelajari dari Grameen Bank di Bangladesh yang menjadi peneraju skim mikrokredit dan pinjaman makro kepada rakyat termiskin Bangladesh dan tetap mencapai keuntungan!
Begitu juga Bank Rakyat sebagai sebuah bank koperasi terbesar negara, sudah tiba masanya Bank Rakyat diperkasakan dengan menawarkan produk pembiayaan komersil yang memberi insentif dan faedah yang menarik kepada usahawan dan ahli bisnes selain pinjaman kepada ahli koperasi.
Bank Rakyat mesti menjadi katalis untuk membina keupayaan koperasi di Malaysia sebagai kuasa ekonomi ke 3 sekaligus turut sama merancakkan ekonomi demi memakmurkan negara.
Sebagai seorang penerima geran, pengalaman syarikat menerima dana TECHNOFUND dari MOSTI (kini MESTECC) merupakan satu contoh terbaik mekanisme pemberian dan pembayaran geran mengikut garis masa projek yang telah ditetapkan adalah model terbaik untuk diteruskan.
Dengan pemantauan berkala oleh sekretariat Techofund yang mempunyai kepintaran perniagaan dan pertimbangan bisnes, pembayaran geran dibuat mengikut kemajuan projek setelah segala isu dan cabaran berkaitan dalam tempoh ‘milestone’ berjaya diselesaikan.
Akhirnya, sebuah fasiliti pengilangan snek bar milik Bumiputera menggunakan teknologi MARDI telah berjaya dibangunkan dalam tempoh 36 bulan hasil pembiayaan dana bantuan geran.
Bantuan geran bukan segala-galanya dalam berbisnes. Justeru itu, perkara utama yang mesti ditekankan oleh usahawan bumiputera adalah sentiasa fokus dalam perniagaan. Bantuan geran merupakan satu kemudahan yang diberikan oleh kerajaan.
Sekiranya ada usahawan yang layak untuk menerima anggaplah geran tersebut satu bonus kepada perniagaan, ianya bukan syarat wajib usahawan Bumiputera untuk berjaya dalam perniagaan.
* Mohsein Shariff adalah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI
#bantuan kerajaan
#bisnes
#Bumiputera
#DKN2030
#Geran
#Kementerian Pembangunan Usahawan
#kerajaan
#Kolumnis AWANI
#Mohd Redzuan Md Yusof
#pembangunan usahawan
#perniagaan
#usahawan