Bantuan BUDI MADANI beri penjimatan, kurangi beban rakyat
Bernama
Jun 11, 2024 09:30 MYT
Jun 11, 2024 09:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pemberian bantuan BUDI MADANI sebanyak RM200 bermula hari ini kepada pengguna diesel yang layak khususnya pemilik kenderaan diesel individu, petani dan pekebun kecil, mampu memberikan penjimatan kepada pengguna bahan api itu.
Ringkasan AI
- Diberikan kepada pemilik kenderaan diesel individu, petani, dan pekebun kecil untuk menjimatkan kos bahan api, dengan harga diesel kini RM3.35 seliter.
- Bantuan ini mengurangkan perbelanjaan bahan api dan meningkatkan kewangan golongan berpendapatan rendah.
- Kerajaan diminta memantau harga barangan dan pemain industri berharap lori 'tipper' layak mendapat subsidi untuk mengekalkan kos operasi.
Meskipun harga diesel ditetapkan pada RM3.35 seliter bermula hari ini, namun sejumlah 33 jenis kenderaan pengangkutan awam dan barangan akan terus menikmati diesel bersubsidi menerusi penggunaan 'fleet card' di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Bagi pemerhati isu semasa Noor Mohamad Shakil Hameed pendekatan yang diambil kerajaan merupakan langkah tepat dalam usaha memastikan bantuan subsidi dapat disalurkan secara efektif kepada golongan sasar sekali gus menangani masalah ketirisan bahan api itu.
"Menerusi data yang dibentangkan melalui simulasi perkiraan berdasarkan situasi pemberian subsidi pukal yang dinikmati oleh semua dengan subsidi bersasar, dapat dilihat realitinya golongan rentan dan berpendapatan rendah ini mampu menikmati penjimatan dalam perbelanjaan bulanan.
"Apa yang penting rakyat yang menerima subsidi ini melihat secara menyeluruh. Penggunaan subsidi bersasar secara berhemat dan perbelanjaan kos sara hidup harian secara bijak mampu meningkatkan pegangan nilai wang tunai di tangan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Noor Mohamad yang juga Timbalan Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata langkah yang diambil kerajaan itu juga dilihat memberi kesan langsung segera dalam usaha menoktahkan masalah ketirisan diesel dan semua pihak perlu menyokong langkah berani kerajaan demi menyelamatkan wang negara.
"Isu ini paling membimbangkan rakyat apatah lagi ada pihak cuba mengambil kesempatan dan menyebarkan pelbagai fitnah dan dakyah dengan niat untuk menakutkan rakyat dan membangkitkan rasa marah dan benci rakyat terhadap kerajaan. Ini tindakan yang tidak wajar," katanya.
Beliau turut berharap agar kerajaan boleh melaksanakan langkah pemantauan dan penguatkuasaan secara tegas serta mengawal harga siling jualan barangan keperluan harian agar tiada pihak mengambil kesempatan terhadap pengguna susulan kenaikan harga diesel.
Bagi pengguna kenderaan diesel sejak 2022, Mohamad Hidayatullah Mustafa, 33, pemberian BUDI MADANI itu sedikit sebanyak mengurangkan kos perbelanjaan bahan api bulanannya.
"Selepas saya hitung kos diesel bulanan sebelum ini dan selepas kenaikan (harga diesel) ditolak dengan bantuan BUDI MADANI, ternyata saya dapat jimat sedikit daripada perbelanjaan diesel sebelum ini. Terima kasih PMX (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana prihatin dengan kebajikan rakyat," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor, Chia Jee Onn berharap agar lori jenis 'tipper' atau lori jongket disenaraikan sebagai kenderaan logistik supaya layak menikmati SKDS bagi memastikan kos operasi tidak meningkat seterusnya mengekalkan kadar harga semasa untuk setiap perkhidmatan.
"Kalau 'tipper' tidak dapat menikmati subsidi kerajaan, sememangnya kita akan selaras kadar pengangkutan, jadi impak itu memang akan menyebabkan kesan berganda (ke atas harga perkhidmatan)," katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pihak kerajaan dapat melakukan perbincangan semula dengan meneliti beberapa perkara berkaitan pemberian subsidi itu bersama pemain industri bagi mencari penyelesaian terbaik.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bermula hari ini, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 per liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.
Susulan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif BUDI MADANI bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.
Pendaftaran bagi BUDI MADANI dibuka pada 28 Mei lepas dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.
-- BERNAMA