Bantuan Bernas: Kerajaan terima sumbangan RM50 juta akhir bulan ini - Mohamad Sabu

Abd Hadi Che Awang
Januari 26, 2023 09:56 MYT
Menurut Mohamad bantuan berkenaan akan mula diagihkan kepada 219,402 pesawah di seluruh negara selewatnya pada awal Mac menerusi bantuan khas berbentuk tunai sebanyak RM250. - Fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mengesahkan bahawa kerajaan akan menerima bantuan sumbangan berjumlah RM50 juta menjelang akhir bulan Januari.
Menurut beliau, bantuan berkenaan akan mula diagihkan kepada 219,402 pesawah di seluruh negara selewatnya pada awal Mac menerusi bantuan khas berbentuk tunai sebanyak RM250.
Tambahnya, bantuan itu juga tidak melibatkan pesawah di negeri-negeri Pantai Timur yang sudah menerimanya secara berperingkat bermula tahun lalu.
"(Pesawah) di (negeri) Kelantan, Terengganu dan Pahang (sudah) selesai (agihan bantuan), (di negeri) Kedah baru bermula, (semua) akan dapat selewatnya dua minggu daripada sekarang, (proses agihan) ini (akan dibuat dalam jangka masa yang) cepat sahaja, (memandangkan) semua sudah ada data, (saya hendak maklumkan agihan adalah) berbentuk tunai," katanya.
Mohamad berkata demikian ketika sidang media selepas sesi libat urus bersama peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Pengkalan Kundor, Alor Setar pada Rabu.
Awal Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan syarikat Padiberas Nasional Negara (Bernas) untuk menyalurkan bantuan kepada pesawah padi berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 dan RM50 juta setiap tahun bermula tahun ini.
Langkah itu menurutnya, adalah bagi membantu pesawah padi yang miskin terutama melibatkan beberapa negeri termasuk Kedah.
#BERNAS #Mohamad Sabu #bantuan petani #pesawah