Bantuan barang dapur golongan miskin bandar digerakkan di Selangor, KL - Kementerian Kewangan

Astro Awani
Julai 5, 2021 19:15 MYT
Kementerian Kewangan memaklumkan, peruntukan sebanyak RM100 juta melalui Pemerkasa itu memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Projek perintis Program PRIHATIN Kasih bagi menghulurkan bantuan barangan dapur kepada golongan miskin bandar telah digerakkan pada 1 Julai lalu melibatkan negeri Selangor dan Kuala Lumpur berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, peruntukan sebanyak RM100 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) itu memanfaatkan 300,000 isi rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara.
Program bantuan barangan dapur itu disalurkan secara tanpa tunai melalui penggunaan MyKad.
"Keluarga yang menerima PRIHATIN Kasih telah dipilih daripada keluarga miskin bandar, dengan mengambil kira pangkalan data dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan e-Kasih yang seterusnya disemak silang dengan pengkalan data BPR.
"PRIHATIN Kasih melibatkan bantuan bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan makanan asas seperti makanan dalam tin, susu bayi, beras, minyak masak, telur, dan sebagainya berdasarkan pilihan isi rumah.
"Program PRIHATIN Kasih ini melibatkan lebih daripada 300 rantaian pasar raya dan kedai di seluruh negara termasuk Mydin, Giant, Econsave, The Store, Pacific, Milimewa, 99 Speedmart, Lotus Stores (Tesco) serta kedai-kedai runcit," demikian menurut kementerian tersebut, hari ini.
Jelas kementerin itu lagi, bantuan tersebut melibatkan bayaran bulanan sebanyak RM100 untuk tiga bulan yang boleh digunakan untuk pembelian barangan asas.
Selepas Selangor dan Kuala Lumpur, fasa kedua akan dilaksanakan pada Ogos ini yang melibatkan negeri Kelantan, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Perak, Melaka serta Terengganu,
Sementara itu, fasa seterusnya melibatkan Negeri Sembilan, Labuan, Pahang, Putrajaya, Sabah dan Sarawak yang dijangka pada September hingga Oktober.
Penerima PRIHATIN Kasih yang layak akan menerima SMS dari MyKasih untuk mengesahkan status mereka sebagai penerima.
#miskin bandar #Bantuan barang dapur #Kementerian Kewangan #Program PRIHATIN Kasih #PKPD Selangor #PKPD KL #PKP 3 0 #MCO 3 0
;