Bantuan banjir: RM50 juta disalurkan terus kepada rakyat Johor - PM

Fareez Azman
Mac 6, 2023 19:26 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Hari Kraf Kebangsaan (HKK) 2023 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bantuan banjir RM50 juta yang disalurkan Kerajaan Persekutuan kepada negeri Johor adalah tanpa sebarang komisen sebaliknya ia disalurkan terus kepada rakyat negeri itu meskipun ia tidak disalurkan melalui Ahli Parlimen.
Demikian jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas mengenai cadangan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu peruntukan itu ditambah menjadi RM100 juta.
Ujarnya, peruntukan yang disalurkan itu diguna dahulu untuk menyelesaikan projek tebatan banjir di negeri itu selain membantu mangsa banjir yang terkesan.
"Kita bagi dulu belanja, kita kos tak ada komisen, dia terus kepada mangsa.
"Kita bagi projek tebatan banjir disegerakan, sebenarnya di Johor sudah hampir cecah RM1 bilion (projek) itu tak masuk tebatan banjir," katanya.
Mengulas mengenai peruntukan Ahli Parlimen yang diutarakan pembangkang pula, jelas Anwar, kerajaan sentiasa terbuka untuk berbincang perkara itu.
Pada masa sama tegasnya, meskipun tiada peruntukan disalurkan, namun pembelaan rakyat di kawasan-kawasan Ahli Parlimen pembangkang sentiasa terbela menerusi projek yang dijalankan kerajaan Pusat.
"Dia (Ahli Parlimen pembangkang) bincang dulu, dia tak bincang. Negeri dia tak bagi, kalau dia kata zalim tak bagi, dia tak bagi di negeri dia macam mana, kategori mana tu.
"Jadi kita kata bincang dulu tak ada masalah. Bukan tak bagi, projek berjalan di kampung, macam RM50 juta dia bising, zalim tak bagi negeri dia," jelasnya lagi.
Tambah Anwar, peruntukan tambahan itu bagi menyegerakan projek tebatan banjir serta bantuan kepada mangsa.
"(Kerajaan) bagi kepada mangsa banjir di Johor pun kita tak bagi kepada negeri, kita bagi mangsa banjir.
"Jadi guna istilah zalim, adil, guna Al-Quran, itu ditunggangi oleh puak itu tak boleh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa melawat Hari Kraf Kebangsaan 2023 di Kompleks Kraf, ibu negara pada Isnin.
Terdahulu, Muhyiddin dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini, mencadangkan kepada kerajaan agar peruntukan RM300,000 diberikan kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang di kawasan dilanda banjir.
Jelasnya, peruntukan itu bagi memudahkan bantuan segera disalurkan kepada mangsa banjir.
Muhyiddin turut mencadangkan agar peruntukan bantuan banjir RM50 juta ditingkatkan kepada RM100 juta di negeri Johor ekoran keadaan banjir yang teruk melanda negeri itu.
#Anwar Ibrahim #banjir johor #Peruntukan Banjir #Muhyiddin Yassin
;