Bantuan bakul makan kepada penduduk Pulau Perhentian tidak pernah putus

Nur Fazlizai Ali
Ogos 7, 2021 08:27 MYT
Tengku Zaihan (tengah) berkata, walaupun berada di kawasan kepulauan, namun pelbagai pihak sentiasa cakna dengan situasi penduduk. - Astro AWANI
PULAU PERHENTIAN: Nasib penduduk Pulau Perhentian, Besut yang terputus mata pencarian kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 mendapat prihatin pelbagai pihak.
Sejak pandemik COVID-19 melanda lebih setahun lalu, bekalan bantuan makanan yang diterima mereka tidak pernah putus dan disalurkan secara berperingkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman berkata walaupun berada di kawasan kepulauan, namun pelbagai pihak sentiasa cakna dengan situasi penduduk yang majoritinya bekerja dalam sektor pelancongan.
Jelasnya bantuan bakul makanan daripada Ahli Parlimen Besut menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) turut disalurkan.
"Walaupun terdapat 222 buah rumah, agihan menghampiri untuk 250 keluarga, kerana ada satu rumah ada 5 keluarga ada yang 6 keluarga.
"Apabila sektor pelancongan tidak dapat dibuka di Pulau Perhentian ini, mereka ni ada di rumah dan memerlukan bantuan makanan," katanya.
Sementara itu beberapa penduduk yang ditemui berkata, bantuan bakul makanan yang dihulurkan itu dapat mengisi perut ahli keluarga selepas tiada pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Jelas mereka kehidupan mereka kini terhimpit dek kerakusan virus bernama COVID-19, sumbangan makanan sedemikian amat berharga.
"Bila bergantung pada ekonomi, bila jatuh ke COVID-19 ini, Tuhan sahaja yang tahu.
"Apatah lagi pulau ni luar pada daratan, di lautan. Jadi pihak yang berwajib ini turun padang ambil tahu dan kami sangat bersyukur dengan bantuan ini," jelas pengusaha bot, Mohd Yusof Mohd Haris.
BACA: PEMULIH: Golongan miskin tegar, B40, M40 dapat Bantuan Khas COVID-19 bermula Ogos - PM
BACA SEMUA BERKAITAN PEMULIH DI SINI
Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan, kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Perdana Menteri, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
#COVID-19 #Bakul Makanan #PEMULIH #Pulau Perhentian #sektor pelancongan
;