Bantuan Awal Persekolahan jadi sinar kehidupan pelajar B40

Astro Awani
Oktober 16, 2024 10:30 MYT
Hajibah Alan (kanan) bersama anaknya Putri Qhalisha Arissa Mahadir mengusahakan perniagaan pisang goreng secara kecil-kecilan di Kampung Muara Tebas, Kuching. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Kos menguruskan keperluan persekolahan merupakan antara perbelanjaan terbesar isi rumah.
Namun, menerusi inisiaitf Kerajaan Persekutuan iaitu Bantuan Awal Persekolahan (BAP), ia memberi kelegaan kepada ibu bapa dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan yang sempurna.
Antara penerima manfaat menerusi inisiatif di bawah Belanjawan 2024 ini adalah keluarga Hajibah Alan, ibu kepada empat orang anak yang mencari nafkah sebagai penjual pisang goreng di Kampung Muara Tebas, di sini.
Suaminya yang bekerja sebagai buruh kasar, menyebabkan pendapatan keluarga hanya ‘cukup makan’ terutama untuk menanggung dua anak mereka yang masih lagi bersekolah.
Bagaimanapun, dia menarik nafas lega apabila anak-anaknya menerima BAP sebanyak RM150 seorang menjelang permulaan persekolahan lalu.
“Daripada empat anak saya, dua masih lagi bersekolah iaitu berusia 13 dan 9 tahun. Kalau ada duit lebih, baru saya belanja barang-barang keperluan seperti beli kasut sukan dan kasut sekolah, tapi kalau barang sekolah yang masih bagus, saya tak beli dulu.
“Bantuan itu saya beli untuk keperluan yang lebih utama macam baju sekolah, tudung, baju sukan, alat tulis dan sebagainya.
“Kalau anak yang baru masuk Tingkatan 1 ini banyak keperluan yang kena beli. Keseluruhan belanja ada dalam lebih kurang RM250. Saya tambah lagi dalam RM100 lebih kurang,” katanya.
Bagi anaknya pula, Putri Qhalisha Arissa Mahadir yang merupaja pelajar tingkatan satu Sekolah Kebangsaan Bako, bantuan tersebut sekurang-kurangnya meringankan beban keluarga dalam penyediaan peralatan dan seragam sekolah.
“Saya dapat beli keperluan yang baharu seperti baju, kasut, kalkulator dan alat tulis.
“Sekarang saya dah cukup semua keperluan untuk belajar. Seronok saya nak ke sekolah,” katanya.
Dia percaya, menerusi bantuan itu, ia banyak membantunya dalam meningkatkan ilmu, selain mengakui bahawa ilmu adalah jalan terbaik dalam mengubah nasib keluarganya.
BAP adalah bantuan tunai yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Belanjawan 2024 bagi semua murid.
Ia bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan persekolahan anak-anak yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga dalam menyediakan kelengkapan anak-anak bagi menghadapi sesi persekolahan.
BAP ini telah memberi manfaat kepada lebih 5.2 juta pelajar di negara ini selepas nilai sumbangan dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 pada tahun 2022.
#Belanjawan 2024 #bantuan awal persekolahan #pendidikan #bantuan tunai
;