Bantuan aliran tunai untuk peniaga kecilan
Low Ngai Yuen
Februari 13, 2019 18:59 MYT
Februari 13, 2019 18:59 MYT
MUNGKIN ramai yang sudah biasa mendengar ungkapan keramat dalam perniagaan iaitu kalau gagal untuk merancang maka memang dirancang untuk gagal.
Kalau nama atau logo perniagaan diberi pertimbangan dan perincian yang mungkin memakan hari ataupun minggu, memang menjadi pertanyaan – apakah tidak rasional bagi peniaga memberi keutamaan untuk memastikan perhatian yang setimpal dalam satu-satu bidang yang bakal menjadi penentuan sukses dan kelestarian perniagaan itu?
Sama ada sesebuah perniagaan itu mempunyai kemampuan untuk terus bertahan sebenarnya banyak bergantung kepada keteguhan aliran tunai perniagaan yang dirancang.
Yang pelik, ramai peniaga tidak tahu atau tidak pernah tertanya bagaimana untuk merancang aliran tunai malah ada yang kurang arif pengaturan aliran tunai itu boleh dirangka dan dibentuk mengikut kesesuaian perniagaan ataupun mengikut kemampuan diri ataupun ia berubah-ubah mengikut fasa perkembangan perniagaan.
Lebih memudaratkan lagi apabila bukan sahaja tidak dirancang, peniaga menganggap dan mengambil mudah hal perancangan aliran tunai.
“Ini bukannya bisnes besar. Memang tak perlu (dan tak ada modal) nak bayar gaji buat seorang CFO (Ketua Pegawai Kewangan). Rezeki tak boleh buat agak-agak saja.
"Manalah nak tahu berapa banyak yang boleh dijual? Asal kita buat yang terbaik yang lain semua guna common sense – jual banyak aliran tunai bagus dan kalau teruk jualan, payahlah aliran tunai.”
Demikian antara keluhan yang biasa saya dengar daripada kalangan peniaga terutamanya peniaga kecilan dan mikro.
Sekali lagi peringatan kata-kata lazim: kalau gagal untuk merancang maka memang dirancang untuk gagal.
Apa kata untuk minggu ini, kita ganti alasan dengan mindset pembelajaran sepanjang hayat?
Penyediaan aliran tunai bukan setakat proses simpan kira – ia tidak memadai untuk menyimpan rekod urus niaga perniagaan seperti apa yang dibeli serta apa yang dijual.
Bahkan, ia lebih daripada menjadikan pengurusan kewangan lebih sistematik dan bukan sekadar untuk memastikan aliran tunai positif setiap bulan.
Perancangan aliran tunai yang mantap akan membantu untuk mentafsir keperluan perniagaan, menganalisis cara baharu untuk menjadikan proses perniagaan lebih efisen serta melapor maklumat status kewangan di antara perniagaan, pembekal dan pelanggan.
Terdapat banyak solusi simpan kira di dalam talian dan ia berbaloi untuk mengambil sedikit masa bagi memahami apakah perisian yang sudahpun ada di pasaran yang bersesuaian.
Yang penting untuk diingati, pastikan ia boleh diakses menerusi pelbagai peranti dari komputer riba ke telefon bimbit.
Alangkah mudah lagi sekiranya solusi yang dipilih juga boleh bersambung ke akaun di bank secara terus dari kedai sama ada fizikal ataupun dalam talian.
Kalau ia membantu untuk mengingatkan pembayaran dan menghantar invois secara otomatik serta mengemaskini akaun bila dibayar serta menghantar notifikasi kepada peniaga, lagi berkesan.
Simpankira.com ataupun xero.com adalah antara perkhidmatan yang mungkin boleh dipertimbangkan sebagai contoh.
Bayaran untuk servis simpankira.com adalah percuma untuk dua bulan pertama untuk membolehkan peniaga untuk mencuba. Solusi antarabangsa yang juga boleh ditinjau termasuk quickbooksonline.com serta waveapps.com.
Bila sudah dipermudahkan bab merekod secara sistematik, barulah peniaga mempunyai masa dan ruang di minda untuk merancang jangka panjang untuk mengembangkan perniagaan sekiranya lebih modal diperlukan.
Zaman ini, dari kemajuan peer to peer lending ataupun pinjaman pasaran ke kaedah crowdfunding ke pelbagai pembiayaan hutang secara sah dalam talian; peniaga tidak perlu lagi hanya bergantung kepada bank.
Tetapi yang mana satu jawapan terbaik buat perniagaan anda. Semuanya hanya akan menjadi lebih jelas sekiranya kewangan asas sudah pun mantap dirancang.
Minggu depan: Nak berniaga tapi modal dari mana?
* Low Ngai Yuen merupakan Ketua Pegawai Eksekutif di GEMA iaitu sebuah NGO berdaftar dan antara usaha GEMA adalah membolehkan pemindahan teknologi dengan para usahawan kecil.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.