Bantuan 700 kampit beras kepada mangsa banjir

Bernama
Disember 26, 2012 16:06 MYT
Umno bahagian Pasir Puteh menyumbang sebanyak 700 kampit beras bernilai RM14,300 kepada mangsa banjir dari empat buah kampung di daerah itu.
Ketuanya Zawawi Othman berkata bantuan itu diagih-agihkan sendiri kepada hampir 700 mangsa terutama yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan.
"Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan petani miskin sangat memerlukan bantuan itu," katanya pada majlis memasak makanan bagi 219 mangsa banjir yang ditempatkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Kamil 1 di Pasir Puteh.
Zawawi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, berkata mereka yang menerima bantuan itu tinggal di Kampung Gong Chokoh, Gong Pasir, Kampung Wakaf dan Sungai Kelong.
Katanya kebanyakan rumah mereka dinaiki air sedalam antara 0.5 dan 1 meter akibat limpahan air sungai berdekatan dengan rumah masing-masing.
Beliau berkata pihaknya akan menjalankan bancian untuk memohon bantuan daripada kerajaan pusat berikutan kerosakan harta benda serta tanaman disebabkan banjir.
#Pasir Puteh #petani #pusat pemindahan #UMNO #Zawawi Othman
;