Bantu pelajar B40, Inisiatif CERDIK dilancar Februari ini

Astro Awani
Januari 25, 2021 16:50 MYT
Inisiatif CERDIK yang menyediakan akses digital iaitu komputer riba, tablet, dan penyambungan data kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau B40 akan mula dilancarkan Februari ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Inisiatif CERDIK yang menyediakan akses digital iaitu komputer riba, tablet, dan penyambungan data kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah atau B40 akan dilancarkan Februari ini.
Langkah itu akan dapat membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk membiasakan diri dengan norma baharu bagi pembelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran di luar kelas.
Pemilihan pelajar dan sekolah yang akan terlibat dengan CERDIK akan ditentukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM juga akan meneliti spesifikasi perkakasan dan perisian untuk memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih lestari terutama dari segi sokongan jaminan, kebolehgunaan, dan jangka hayat yang lebih lama untuk pembelajaran digital pada masa depan.
Dalam pada itu, Yayasan Hasanah akan berperanan sebagai Sekretariat kepada inisiatif CERDIK.
Pengarah Urusannya, Shahira Ahmed Bazari berkata, yayasan itu komited untuk menyokong model pembelajaran yang inovatif dan berskala bagi membolehkan akses kepada pembelajaran berkualiti untuk semua.
Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 November lepas oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi pemberian komputer riba kepada 150 ribu murid di 500 sekolah sebagai projek rintis yang akan diselia Yayasan Hasanah.
#CERDIK #Belanjawan 2021 #Kementerian Pendidikan #pelajar #kerajaan #pendidikan #sekolah #GLC #GLIC #Malaysia #Yayasan Hasanah #KPM
;