Bantu kerajaan majukan sektor pendidikan-Agong

Bernama
Disember 30, 2012 12:43 MYT
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menyeru anggota masyarakat agar membantu kerajaan dalam memajukan sektor pendidikan demi kemajuan dan masa depan negara.
Baginda bertitah peranan masyarakat dalam hal ini ada signifikannya walaupun pendidikan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk merancang kurikulum serta kokurikulum pengajaran dan pembelajaran.
"Beta ingin menyeru para hartawan, dermawan dan ahli-ahli korporat bersama-sama memajukan sektor pendidikan menerusi saham amalan wakaf, sumbangan dan derma jariah untuk faedah pendidikan seperti firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Bandingan mereka yang mengeluarkan harta pada jalan Allah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai mengandungai 100 biji, dan Allah akan melipatgandakan pahala kepada sesiapa yang ia kehendaki. Sesungguhnya Allah maha luas pengetahuan-Nya."
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada majlis makan malam amal Alumni Maktab Mahmud ke-75 di Dewan Seri Mentaloon, kediaman rasmi Menteri Besar di sini Sabtu.
Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berangkat beserta Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah dan anggota jemaah yang lain.
Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut hadir.
Seri Paduka Baginda turut bertitah agar pelajar Sekolah Agama menguasai bahasa Arab yang dilihat kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.
"Sukacita beta menyarankan pihak-pihak terlibat perlu mencari jalan mengatasi masalah ini seperti mengambil tenaga pengajar dari negara-negara Timur Tengah di samping mewujudkan persekitaran yang membantu pengembangan dan peningkatan bahasa Arab di kalangan pelajar," titah baginda.
#Agong #Kedah #Maktab Mahmud #pelajaran #pendidikan
;