Bantu bawa kemahiran robotik ke pusat tahfiz - Maszlee

Astro Awani
Julai 20, 2019 12:21 MYT
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee malik berkata bidang matematik, sains dan teknologi, rekabentuk dan penguasaan teknologi maklumat komunikasi adalah penting. - Foto Astro AWANI
Kementerian Pendidikan menyeru pihak swasta untuk bersama membawa kemahiran pembangunan robotik ke pusat tahfiz seluruh negara.
Ia bagi melengkapkan pelajar tahfiz ini dengan ilmu masa depan agar mereka tidak ketinggalan.
Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee malik berkata bidang matematik, sains dan teknologi, rekabentuk dan penguasaan teknologi maklumat komunikasi adalah penting.
Justeru itu, sokongan pelbagai pihak amat penting untuk mengembangkan kemahiran itu khususnya di pusat tahfiz.
"(Ilmu robotik) merupakan persiapan kepada anak-anak di alam pekerjaan di masa depan yang begitu bergantung kepada robotik, kepada ilmu berkaitan IR 4.0.
“Kita perlu melengkapkan anak-anak kita dengan segala ilmu yang akan menyediakan masa depan mereka," kata Maszlee ketika ditemui media selepas majlis penutup Tun Fatimah I-Challenge di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya, biarpun gembira dengan pertumbuhan pusat tahfiz kini, beliau melahirkan rasa bimbang terhadap pelajar pusat tahfiz kerana tidak dibekalkan dengan kemahiran robotik untuk masa depan mereka.
Maszlee percaya aktiviti pengaturcaraan dan pembangunan robotik yang diadakan ini akan membina nilai optimis, dinamik dan berdaya saing yanh tinggi dalam kalangan pelajar.
Sekaligus akan melahirkan murid atau pelajar yang teliti, berkomitmen tinggi dan sabar dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
#ilmu robotik #Kementerian Pendidikan #Maszlee Malik #pendidikan #Sains #tahfiz
;