Banteras rasuah: Zahid kesal NGO antarabangsa terpedaya dakwaan tidak berasas
Astro Awani
September 3, 2015 23:11 MYT
September 3, 2015 23:11 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluahkan rasa kesalnya terhadap pemimpin-pemimpin NGO antarabangsa yang datang ke Malaysia, hanya untuk terpedaya dengan dakwaan kitar semula yang tidak berasas mengenai usaha kerajaan menentang gejala rasuah.
Beliau juga turut meluahkan kekesalan dengan tindakan beberapa pemimpin NGO antarabangsa yang sengaja melibatkan diri dalam politik dalaman negara.
"Kerajaan Malaysia yakin akan memenangi dalam perang menentang rasuah. Kami akan terus melakukan pembaharuan untuk meningkatkan integriti dan ketelusan dalam sektor awam dan swasta.
"Mereka yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan dan didakwa. Perdana Menteri telah membuat kenyataan mengenai perkara ini dengan jelas, tetapi biarlah saya ulang, tidak akan ada pihak yang melakukan kesalahan, akan sewenang-wenangnya bebas dari dikenakan hukuman,"jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mempertahankan institusi dan ketelusan kerajaan Malaysia dalam membanteras kegiatan rasuah dalam negara ini.
Jelasnya kadar sabitan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) meningkat daripada 54% pada tahun 2009 kepada 78% pada tahun 2014.
"Bagi Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa, Malaysia meningkat dari kedudukan pada tangga ke-53 daripada 175 negara pada tahun 2013 kepada tangga ke- 50 pada tahun 2014. Ia merupakan kedudukan kedua terbaik di negara Asia Tenggara selepas Singapura.
"Namun kami sentiasa mahu pergi ke kedudukan yang lebih tinggi. Kami telah pun menetapkan matlamat untuk berada di tempat 30 teratas menjelang tahun 2020 dan kini kami sedang mengkaji perancangan untuk mengukuhkan kebebasan institusi SPRM dan pejabat ketua Audit Negara," tambah Zahid dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zahid lagi, Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah dalam satu semakan pada tahun lepas, turut memuji hasil usaha kerajaan dalam menentang gejala rasuah.
"Pujian itu, termasuk tiada sekatan undang-undang dalam negara ini, penubuhan 14 mahkamah yang khusus mengenai anti-rasuah di mana hakim diarahkan untuk mendengar kes-kes dalam tempoh satu tahun.
Selain itu, konvensyen itu turut memuji inisiatif sektor swasta negara ini di mana wujudnya satu pakatan yang berintegriti untuk memerangi rasuah.
Zahid juga berkata Malaysia juga dipuji kerana komitmennya dalam menangani rasuah di peringkat antarabangsa.