Banteras judi: 'Biar kami jadi mata dan telinga polis' - Armand

Wan Syamsul Amly
Julai 31, 2015 08:46 MYT
ARMAND: Banteras judi: 'Biar kami jadi mata dan telinga polis' - Gambar fail
Briged Kesatria Muda Pergerakan Pemuda UMNO akan mula mengambil gambar mana-mana premis judi haram yang beroperasi di seluruh negara dan menyalurkan maklumat berkenaan kepada polis.
Pengerusinya, Armand Azha Abu Hanifah berkata, maklumat itu juga akan disalurkan kepada pihak berkuasa selain polis dalam usaha membantu membersihkan semua premis judi haram di seluruh negara.
"Kami dan NGO Suara Anak Muda 1Malaysia akan bersama membantu dalam gerakan membanteras judi haram yang tidak berlesan sebagai pemantau serta menyalurkan maklumat daripada anak-anak muda kepada pihak berkuasa.
"Judi haram ini merupakan salah satu virus perosak yang tidak sihat dan hanya merosakkan imej negara serta institusi keluarga," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Khamis.
BACA: KDN janji banteras judi haram di seluruh negara - Ahmad Zahid
Pada Rabu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri mahu semua ketua polis di seluruh negeri untuk menangani kewujudan kedai judi haram di kawasan masing-masing.
Tegasnya, operasi yang dilakukan sebelum ini dilihat hanya berjaya dalam masa singkat.
Dalam pada itu jelas Armand, pasukan sukarelanya melihat usaha itu harus diikuti seluruh rakyat negara ini demi kejayaan hasrat Ahmad Zahid sendiri.
"Kita tawarkan khidmat kami sebagai mata dan telinga bagi membenteras judi haram.
"Kami juga memohon rakyat yang prihatin dalam membanteras 'Virus Perosak Negara' ini dan membantu pihak berkuasa. Siapa lagi kalau bukan kita," katanya.
Ahmad Zahid juga dilaporkan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba melindungi kegiatan judi termasuk anggota dan pegawai polis.
Katanya, tidak ada satu bangsa atau agama atau individu yang rasional yang bersetuju jika aktiviti perjudian dibiarkan berleluasa.
#Armand #judi #KDN #polis #UMNO #zahid
;