Bantahan terhadap TPPA hanya berasaskan kebimbangan - Abdul Wahid

Dania Zainuddin
Januari 9, 2016 20:06 MYT
ABDUL WAHID: Ini bukan perkara yang baru tetapi telah lama wujud bagi memberi perlindungan kepada pelabur di mana mereka beroperasi, termasuk di Malaysia dan di negara-negara luar. - Gambar fail
Isu yang dibangkit dan bantahan terhadap Perjanjian Perdagangan Trans-Pasifik Asia (TPPA) oleh kumpulan bantah TPPA hanya berasaskan kebimbangan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, antara perkara yang dibangkitkan adalah kedaulatan negara.
Abdul Wahid berkata, isu lain yang dibangkit termasuk ruang kerajaan negeri untuk membuat keputusan berhubung tanah.
Selain itu, katanya, turut bangkitkan adalah ICS, iaitu Pusat Penyelesaian Pertikaian Pelabur Antarabangsa yang bertujuan utuk memberi perlindungan kepada syarikat Malaysia atau luar yang mempunyai pelaburan di luar negara.
"Ini bukan perkara yang baru tetapi telah lama wujud bagi memberi perlindungan kepada pelabur di mana mereka beroperasi, termasuk di Malaysia dan di negara-negara luar," kata Abdul Wahid ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Kemuncak TPPA 2016 anjuran Bantah TPPA 2016 di sini hari ini.
Abdul Wahid berkata, dalam konteks pelaburan, syarikat Malaysia telah banyak melabur di luar negara.
"Pelaburan luar negara mencecah RM600 bilion berbanding Pelaburan Asing (FDI) ke Malaysia RM520 bilion. Jika ada perlindungan bagi pelabur, tidak semestinya memberi keburukan untuk Malaysia," katanya lagi.
Jelas Abdul Wahid, sekiranya Malaysia menjadi negara pertama menyertai TPPA ia memberi kelebihan dalam menentukan terma yang menyaksikan perjanjian lebih adil.
"Contohnya, konsep Bumiputera telah diambil kira dan dan diiktirafkan dalam perjanjian ini. Sekiranya Malaysia tidak menyertai pada peringkat awal, Malaysia tidak akan ada kelebihan untuk merundingkan perkara seperti ini,"kata Abdul Wahid lagi.
Tambahnya, terdapat banyak negara lain yang telah menyatakan hasrat untuk menyertai TPPA, seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan sebagainya.
#Abdul Wahid Omar #TPPA
;