Bantah tukar status Hagia Sophia bukti masih ada Islamofobia - Hadi Awang

Astro Awani
Julai 18, 2020 18:37 MYT
Abdul Hadi berkata negara-negara Barat mengambil sikap mengunci mulut perihal isu rampasan masjid di sekitar kawasan Timur Tengah tetapi mengkritik pengumuman baru mengenai Hagia Sophia itu - Gambar Hiasan
Sesetengah negara Barat masih dibelenggu dengan elemen Islamofobia, kata Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Dalam satu kenyataan, Abdul Hadi menjelaskan sikap itu ditunjukkan oleh negara-negara berkenaan yang memprotes keputusan Turki menukar muzium bersejarah Hagia Sophia menjadi sebuah masjid.
“Ia mengelirukan mengapa negara-negara Barat di seluruh dunia memprotes penukaran ini.
"Mereka seharusnya bersikap tegas menyokong sekularisme yang memisahkan agama dari politik.
"Oleh itu, jelas bahawa mereka masih dibelenggu dengan Islamofobia yang mereka ciptakan sendiri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, negara-negara Barat mengambil sikap mengunci mulut perihal isu rampasan masjid di sekitar kawasan Timur Tengah tetapi mengkritik pengumuman baharu mengenai Hagia Sophia itu
“Mereka tetap berdiam diri terhadap Zionis yang merancang untuk merampas dan merobohkan masjid Al-Aqsa yang dahulunya menjadi kiblat pertama (arah solat) bagi umat Islam.
"Begitu juga, ribuan masjid Islam yang dimusnahkan dan dirampas di Sepanyol, termasuk di Cordoba dan tempat lain seperti masjid Babri di India," katanya.
Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini mengumumkan penukaran Hagia Sophia setelah mahkamah membatalkan status muzium di tapak tersebut.
Bangunan Hagia Sophia - atau Ayasofia - itu asalnya dibina empayar Rom Timur sebagai gereja besar pada abad keenam Masihi sebelum diubah menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah pada 1453.
Statusnya sekali lagi bertukar apabila kerajaan sekular Turki menjadikannya muzium pada 1934.
Lebih 50 tahun kemudian Hagia Sophia itu diiktiraf UNESCO sebagai sebahagian daripada Kawasan Bersejarah Tapak Warisan Dunia Istanbul.
#Abdul Hadi Awang #Duta Khas Perdana Menteri #Hagia Sophia #Islamofobia #PAS #Recep Tayyip Erdogan #Turki
;