Bantah TPPA gusar dengan kajian kos manfaat TPPA oleh kerajaan
Haider Yutim
Oktober 17, 2013 17:12 MYT
Oktober 17, 2013 17:12 MYT
Badan Bertindak Bantah TPPA (Bantah) hari ini menyatakan kegusaran terhadap kajian kos manfaat yang dijalankan kerajaan berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Menurut Pengerusinya, Mohd Nizam Mashar, kajian tersebut telah pun berada dalam minggu yang keenam namun tiada sebarang perbincangan berdasarkan isu-isu TPPA diadakan dengan mana-mana anggota Bantah.
Kata beliau, masa yang diberikan untuk kajian tersebut iaitu sebanyak 12 minggu juga terlalu pendek.
"Jadi kita rasakan kesan implikasi ini bahawa kajian kos manfaat yang akan dihasilkan itu tidak komprehensif dan akan beri kesimpulan yang negative kepada implikasi rakyat Malaysia terhadap TPPA," kata Nizam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).
Selain itu, Bantah juga menyatakan kegusaran dan keraguan terhadap kredibiliti konsultan yang dilantik oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan juga Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) untuk membuat kajian ini.
Menurut Nizam, konsultan yang dilantik itu telah keluarkan kenyataan-kenyataan menyokong TPPA melalui sebuah artikel yang diterbitkan oleh sebuah akhbar Bahasa Inggeris tempatan.
Artikel yang bertajuk "With the TPP, the sky's the limit" itu menyatakan yang Malaysia boleh menjadi negara berpendapatan tinggi melalui TPPA yang selaras dengan sasarannya untuk mencapai tahap tersebut.
Katanya, konsultan tersebut perlu diganti kerana tidak dilihat sebagai neutral dalam menyatakan pendirian.
"Kita tidak mahu kajian kos manfaat ini ataupun cadangan-cadangan yang akan dikeluarkan selepasi ini akan memberi nasihat yang salah kepada kerajaan yang akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia," katanya.
Nizam memberitahu, pihaknya juga telah menawarkan diri untuk terlibat dalam kajian tersebut dan merasakan kerajaan telah habiskan banyak wang untuk berunding dengan pihak-pihak luar.
“Mereka (kerajaan) kena ada usaha yang lebih serius dan lebih sistematik untuk adakan proses perundingan, dan memastikan penglibatan kumpulan berkentingan yang aktif ini dalam proses tersebut,” kata beliau.
Beliau juga berharap perkara ini dipandang serius oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) dan mahukan kementerian itu lebih ikhlas serta proses rundingan dilakukan dengan cara yang betul.
Pada 29 Ogos lalu, MTEM telah menyerahkan resolusi membantah TPPA kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Resolusi itu diserahkan selepas MTEM bersama Bantah sebulat suara memutuskan untuk mendesak kerajaan agar tidak menandatangani perjanjian itu.
Resolusi yang mengandungi 75 garis merah atau kepentingan yang tidak boleh ditolak ansur diserahkan pada Majlis Sambutan Hari Raya anjuran MTEM di Kuala Lumpur.