Bantah Rahim Noor atas prinsip menolak pelantikan 'pembuli' - Nurul Izzah

Azyyati Ahmad
Ogos 30, 2018 19:33 MYT
Nurul Izzah menyifatkan kenyataannya bukan berkait dengan isu peribadi, tetapi lebih kepada mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan. -Astro AWANI
Membantah pelantikan Tan Sri Rahim Noor atas dasar prinsip menolak individu yang terbukti adalah seorang pembuli.
Itu pendirian tegas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar yang turut menekankan ia kenyataan bebas sebagai warganegara Malaysia dan tidak bergantung kepada kenyataan ibu atau bapanya.
“Ini bukan soal memaafkan atau tidak; ini adalah soal prinsip hidup yang mana saya telah menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa saya menolak pelantikan seorang pembuli yang telah terbukti bersalah di mahkamah.
“Maka dalam konteks ini, bagi menyelesaikan mana-mana konflik kedamaian sama ada di Selatan Thai atau Filipina, tidak boleh melantik seseorang yang terbukti telah menggunakan keganasan kepada orang lain yang tidak berdosa.
"Pelantikan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Nurul Izzah, sebagai seoang ibu dan warganegara Malaysia, beliau konsisten dengan prinsip hidupnya yang menolak pembuli dan mendidik anak-anaknya agar tidak menjadi mangsa buli atau seorang pembuli.
Ia juga, katanya, adalah mesej utama yang mahu disampaikan di atas ketidakpersetujuan pelantikan bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu rundingan damai Selatan Thailand.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menyifatkan bahawa kenyataannya bukan berkait dengan isu peribadi tetapi lebih kepada mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan.
Ibunya yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu temu bual hari ini turut menyatakan bahawa tidak senang dengan pelantikan Rahim tetapi akur dengan keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad.
#Nurul Izzah Anwar #Parti Keadilan Rakyat #Permatang Pauh #PKR #Rahim Noor #Thailand
;