Bantah pembangunan Rumawip di Seputeh, Ku Nan selar tindakan Teresa Kok

Bernama
Mac 12, 2017 23:50 MYT
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan Teresa Kok yang mengadakan bantahan terhadap projek Rumawip di Seputeh. - Gambar fail
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyelar tindakan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok yang mengadakan bantahan terhadap projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan(Rumawip) di kawasan berkenaan, di sini.
Menyifatkan wakil rakyat itu "tidak faham" dengan usaha pelaksanaan program yang juga dikenali sebagai pembaharuan bandar itu, Tengku Adnan berkata tindakan Teresa itu juga mungkin didorong faktor politik semata-mata.
"Dia (Teresa) tidak suka kita sediakan benda-benda ini (pembangunan) dalam kawasan dia, barangkali dia fikir demografi (akan berubah), dia takut kita bawa orang Melayu lebih ramai ke Seputeh.
"Sedangkan kita lakukan ini untuk semua rakyat tidak kira bangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jom Bantu Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, di sini hari ini.
Tengku Adnan berkata program Rumawip bertujuan membangunkan rumah lama dan juga kawasan-kawasan yang tidak digunakan bagi membangunkan rumah-rumah mampu milik untuk rakyat.
Semalam, media melaporkan Teresa dan sekumpulan kecil penduduk memegang sepanduk membantah penjualan tanah di Dewan Komuniti Seputeh untuk pembangunan perumahan mampu milik di seberang jalan dari pusat berkenaan.
Kejadian itu turut tular di laman sosial menerusi video berdurasi hampir tiga minit menunjukkan pertelingkahan antara peserta himpunan dengan dua individu yang mendakwa himpunan tersebut mengganggu perjalanan perkahwinan yang sedang berlangsung di pusat komuniti itu.
Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan kira-kira RM200 juta bagi tujuan bantuan penyelenggaraan 281 blok di PPR dan Perumahan Awam (PA) yang usang sekitar ibu kota.
"DBKL akan pantau setiap rumah dan jika didapati rumah berkenaan memerlukan penambahbaikan, misalnya melibatkan bilik air dan sistem pendawaian, kita akan beri dengan percuma," katanya.
Beliau berkata DBKL juga akan meningkatkan pemantauan di PPR dan PA terutamanya pada waktu malam dalam usaha membanteras penyalahgunaan kemudahan berkenaan seperti menyewakan unit kepada warga asing.
"Kalau didapati orang yang duduk tidak sama dengan nama penyewa, notis 24 jam akan terus diberi. Kita mahu orang yang layak sahaja menikmati kemudahan ini," katanya,
-- BERNAMA
#DBKL #PPR #RUMAWIP #Tengku Adnan #Teresa Kok
;