Bank tingkatkan ciri-ciri keselamatan bagi perangi penipuan, scam
Bernama
Jun 28, 2023 21:38 MYT
Jun 28, 2023 21:38 MYT
KUALA LUMPUR: Institusi perbankan di Malaysia akan terus menyesuaikan dan menambah baik ciri-ciri keselamatan mereka, selaras dengan lima langkah utama Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan kewangan.
Lima langkah utama, yang diumumkan pada Disember 2022, ialah tempoh bertenang transaksi, berhijrah daripada perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) kepada kata laluan sekali (OTP) bagi kaedah pengesahan yang lebih selamat, hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat untuk pengesahan transaksi perbankan dalam talian, mengalih keluar hiperpautan daripada komunikasi SMS dan e-mel, dan talian hotline 24 jam khusus untuk aktiviti penipuan kewangan.
Dalam satu kenyataan hari ini, RHB Banking Group berkata ia telah mengambil pendekatan holistik dengan terus meningkatkan ciri keselamatan dalam perbankan internet dan platform perbankan mudah alihnya untuk membantu kumpulan itu dalam mengenal pasti dan menghapuskan ancaman aktiviti penipuan.
"Salah satu langkah keselamatan RHB ialah pemindahan lengkap SMS OTP ke ciri kebenaran transaksi Secure Plus untuk perbankan mudah alih dan platform perbankan internet menjelang bulan ini.
"Sebagai tambahan kepada langkah-langkah sedia ada, kami juga memperkenalkan ciri 'Lock Account' atau 'Kill Switch' yang mana pelanggan boleh menyekat akses kepada akaun perbankan mereka apabila aktiviti penipuan dikesan," kata RHB.
Bank itu juga secara proaktif menjalankan kempen pendidikan kesedaran penipuan melalui pelbagai saluran komunikasi, seperti di laman web korporatnya, platform media sosial, platform perbankan internet dan mudah alih, yang merentasi 200 cawangan RHB di seluruh negara.
Sementara itu, OCBC Malaysia, yang terdiri daripada OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islamnya OCBC Al-Amin Bank Bhd, berkata ia telah memindahkan semua pelanggan ke OCBC OneToken yang lebih selamat dan terjamin sebagai langkah tambahan untuk melindungi mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Kumpulan perbankan itu berkata dengan ciri-ciri OCBC OneToken, pengesahan SMS OTP bukan lagi pilihan untuk membenarkan transaksi perbankan dalam talian dan mengalih keluar semua hiperpautan, serta nombor telefon dalam komunikasi SMS lain untuk mengelakkan pelanggan menjadi mangsa percubaan pancingan data oleh 'scammer'.
"OCBC OneToken telah diperkenalkan pada awal 2019. Ia adalah token digital yang boleh didapati di aplikasi Perbankan Mudah Alih OCBC Malaysia.
"Ia membolehkan pelanggan mendapatkan OTP dengan selamat untuk membenarkan transaksi perbankan dalam talian mereka, dan ia hanya boleh diaktifkan pada satu telefon mudah alih pada bila-bila masa," katanya.
Selain menyediakan keselamatan pengesahan dua faktor (2FA), bank itu berkata OCBC OneToken mempunyai keupayaan pertahanan yang terbina secara dalaman untuk mengesan ancaman pada telefon mudah alih pelanggan.
Public Bank Bhd juga baru-baru ini memperkenalkan ciri tempoh bertenang transaksi melalui perbankan internet PBe dan aplikasi mudah alih PB engage MY, yang direka untuk meminimumkan risiko transaksi tanpa kebenaran dan aktiviti yang berpotensi untuk ditipu, bagi memastikan keselamatan wang pelanggan.
"Semua pengguna PBe dan PB engage MY kini dikehendaki mengaktifkan kaedah pengesahan 2 faktor yang lebih mantap yang dipanggil PB Secure Sign. Pengaktifan hanya boleh dilakukan di mesin juruwang automatik atau ATM, cawangan Public Bank dan bantuan sokongan pelanggan PBe di 03-2170 8000.
"Sebaik sahaja diaktifkan, PB SecureSign akan menjalani tempoh bertenang selama 12 jam. Pelanggan hanya boleh mula meluluskan transaksi dalam talian selepas tempoh bertenang," katanya.
Bagi terus melindungi keselamatan platform perbankan dalam talian pelanggan, bank itu berkata PB SecureSign hanya boleh diaktifkan pada satu peranti yang akan digunakan sebagai peranti utama yang bertanggungjawab meluluskan transaksi.
Public Bank juga mengalih keluar hiperpautan daripada komunikasi SMS dan e-mel dan menyediakan talian hotline keselamatan penipuan siber 24 jam untuk membolehkan pelanggan melaporkan penipuan atau aktiviti mencurigakan yang berkaitan dengan akaun mereka.
-- BERNAMA