Bank Rakyat perkenal Akaun Simpanan-i Tabung Qurban

Bernama
September 2, 2017 14:03 MYT
Umat Islam boleh mengunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat dan membuka akaun itu yang diperkenalkan sejak 1 Ogos lepas.
Sempena sambutan Aidiladha, Bank Rakyat memperkenalkan Akaun Simpanan-i Tabung Qurban khusus untuk memudahkan ibadat korban umat Islam di negara ini.
Bank Rakyat berkata simpanan berasaskan prinsip Wadi'ah Yad Dhamanah itu boleh dilakukan secara bulanan atau sekali gus bagi memudahkan perancangan ibadah korban yang akan diuruskan oleh masjid dan surau atau agensi bertauliah yang dilantik oleh Jawatankuasa Qurban bank berkenaan.
"Akaun ini distruktur agar simpanan dapat dilaksanakan lebih teratur, fleksibel di samping pengendali ibadah korban yang dilantik juga terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan diiktiraf selain aktiviti korban boleh dilakukan di dalam dan luar negara," kata bank itu dalam kenyataan hari ini.
Umat Islam boleh mengunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat dan membuka akaun itu yang diperkenalkan sejak 1 Ogos lepas.
Wadi'ah Yad Dhamanah adalah kontrak simpanan di mana bank bertindak sebagai penyimpan atau pemegang amanah atas dana yang didepositkan oleh pelanggan bank.
Pelanggan pula akan memberi keizinan kepada bank untuk menggunakan deposit berkenaan serta bertanggungjawab untuk menjamin deposit itu.
-- BERNAMA
#Aidiladha #Amanah #Bank Rakyat #Islam #korban