Bank perlu bayar semula kepada mangsa 'scam' jika cuai - PM

Khalis Khadir
Disember 3, 2024 17:46 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, ketika ini, tindakan tegas ke atas bank sudah dilaksanakan sekiranya berlaku kecuaian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mencontohi United Kingdom (UK) yang memperkenalkan undang-undang lebih ketat ke atas pihak bank bagi memastikan pemilik akaun dilindungi daripada jenayah penipuan kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara prinsipnya beliau berpendirian agar dasar baharu diperkenalkan oleh UK sejak 7 Oktober lalu itu turut dilaksanakan di negara ini.
“Seperti mana dikaitkan dengan undang-undang di UK, itu hanya jika dikenal pasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau mengikut peraturannya.
“Maka bank mesti juga bayar ganti rugi. Jadi, saya setuju secara prinsip sebagaimana dipakai di United Kingdom (menetapkan bank bayar ganti rugi jika cuai) ia juga terpakai di Malaysia," katanya dalam Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dasar terbabit menetapkan bank perlu membayar balik pampasan atau ganti rugi dalam tempoh lima hari kepada pemilik akaun yang menjadi mangsa penipuan bagi jenayah dalam talian.
Maklum balas itu bagi menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang mahu mengetahui kesediaan Malaysia untuk mengambil langkah seperti dilaksanakan kerajaan UK iaitu menekankan tanggungjawab kepada pihak bank membuat pampasan kepada pemilik akaun yang kehilangan wang akibat menjadi mangsa penipuan.
Jelas Nur Amin, jika merujuk peraturan kewangan di UK, pemilik akaun yang menjadi mangsa penipuan atas talian berhak mendapatkan semula wang mereka daripada pihak bank dalam tempoh lima hari di bawah ‘mandatory recent recruitment reimbursement'.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memaklumkan, ketika ini, tindakan tegas ke atas bank sudah dilaksanakan sekiranya berlaku kecuaian.
“Kalau dikenal pasti kecuaian, bank akan bayar pampasan. Setakat ini mengikut Seksyen 413 Kanun Tatacara Jenayah, sebanyak RM178,407 (wang milik mangsa) telah pun dipulangkan, maknanya ada yang sudah dapat balik.
"Namun mungkin dalam kajian yang dibuat dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), kita akan turut kaji agar diperketatkan supaya pihak bank turut bertanggungjawab jika dikesan cuai,” ujarnya.
#Anwar Ibrahim #lubuk scam #bank bayar ganti rugi #UK
;