Bank Islam tawar moratorium enam bulan kepada mangsa banjir
Fareez Azman
Januari 8, 2021 16:07 MYT
Januari 8, 2021 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Mangsa banjir kini layak memohon moratorium sehingga enam bulan menerusi Program Prihatin ditawarkan Bank Islam Malaysia Berhad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muaazam Mohamed, ia melibatkan kemudahan Pembiayaan Rumah, Pembiayaan Peribadi dan Pembiayaan Kenderaan Bank Islam.
"Peka dengan keadaan banjir, Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini menawarkan Program Prihatin khusus bagi membantu para pelanggan pembiayaan yang terjejas akibat bencana banjir.
"Mereka yang layak boleh memohon moratorium sehingga enam bulan bagi bayaran komitmen bulanan mereka tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Ujarnya lagi, Bank Islam sentiasa meneliti perkembangan terkini bencana banjir di kawasan-kawasan yang terjejas dan akan mengambil langkah proaktif membantu pelanggan yang turut terlibat.
"Kami sedar akan kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami dalam menangani situasi semasa, khususnya dengan keadaan banjir yang buruk serta pandemik COVID-19 yang masih melanda negara. Ini kerana kesejahteraan masyarakat dan pelanggan Bank sentiasa menjadi keutamaan Bank Islam.
"Kami berharap program ini dapat bantu melegakan kebimbangan mereka terhadap komitmen kewangan di waktu yang sungguh mencabar ini. Bank Islam akan terus komited untuk membantu dan menyokong negeri-negeri yang terjejas dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat terjamin,” tambahnya lagi.
Para pelanggan yang ingin membuat permohonan moratorium boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Islam di talian 03-2690 0900 atau ke cawangan Bank Islam terdekat.
#Bank Islam
#Moratorium
#mangsa banjir
#pembiayaan rumah
#pembiayaan peribadi
#pembiayaan kenderaan
#pelanggan