Bank-bank komited bantu pelanggan terjejas akibat banjir
Bernama
Mac 8, 2023 06:30 MYT
Mac 8, 2023 06:30 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan ahlinya komited untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara ketika ini.
ABM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata ahlinya telah menyediakan bantuan banjir yang khusus dan mudah diakses untuk pelanggan mereka yang terjejas akibat banjir.
"Bantuan yang ditawarkan adalah berdasarkan program yang disesuaikan oleh bank individu dan mungkin termasuk (tetapi tidak terhad kepada) penangguhan bayaran balik pinjaman, pembiayaan, pengecualian fi dan caj bagi menggantikan dokumen bank dan kad bank yang hilang dan rosak serta banyak lagi," katanya.
CIMB Group Holdings Bhd dalam satu kenyataan berasingan mengumumkan ia akan mengaktifkan semula pelepasan pembayaran obligasi kewangannya di bawah Pelan Bantuan Banjir CIMB.
Bank itu akan memberikan pelepasan pembayaran selama enam bulan bagi produk pinjaman dan pembiayaan untuk pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS)/perniagaan yang terjejas akibat banjir.
"Seterusnya, Kemudahan Bantuan Bencana sehingga RM700,000 pada kadar kewangan keutamaan juga akan disediakan untuk pelanggan PKS yang memerlukan bantuan aliran tunai tambahan," kata bank itu.
Sementara itu, AmBank Group dalam satu kenyataan berkata ia akan menyediakan bantuan bersasar kepada pelanggan yang layak.
Bank itu berkata pelanggan yang terjejas ditawarkan bantuan bayaran balik sehingga enam bulan bagi semua kemudahan pinjaman dan pembiayaan termasuk kemudahan kad kredit, tanpa caj lewat atau penalti yang dikenakan sepanjang tempoh bantuan bayaran balik.
-- BERNAMA